Wednesday, February 5, 2014

Foto Bercerita

Bismillahhir Rahmannir Rahim..

"A picture is worth a thousand words" - Frederick R. Barnard (1920). Mutiara kata yang hampir sama berbunyi "One look is worth a thousand words" - (Piqua-leader Dispatch, 1921). Namun kedua-duanya mempunyai maksud yang hampir serupa yakni sekeping gambar atau visual atau satu sudut pandang boleh menceritakan pelbagai maksud. Ia juga membawa maksud suatu bentuk visualisasi yang memudahkan orang lain untuk memahami mesej-mesej, data-data atau yang seumpanya yang hendak disampaikan. Bermula dari sinilah terbentuknya peta minda, carta, graf, jadual dan yang seangkatan dengannya yang digunapakai hingga ke hari ini, baik dalam pengajaran & pembelajaran mahupun dalam pengurusan dan perniagaan.

Namun begitu, saya tidak berhasrat untuk melebarkan penulisan ini dalam semua terma yang tersebut diatas, kerana ia tentunya mengambilmasa berhari-hari untuk menghuraikannya. Biar saja saya fokuskan dalam bidang fotografi. Sebagaimana yang disebut, "A picture can say a thousand words", maka kita boleh katakan bahawa setiap foto mempunyai cerita. Tidak kiralah bagaimana ia diambil, siapa yang mengambil, atau alat apa yang digunakan untuk mengambil foto tersebut, tetap ia mempunyai cerita. Meskipun ia hanya sekeping foto yang putih seleput (dek kerana over-expose), tetap ia mempunyai cerita!.

Jadi perbincangan ini ditulis bukan untuk menghasilkan foto yang bercerita, tapi macamana hendak mengoptimakan cerita. Atau lebih tepat, macamana hendak memberi fokus dalam penceritaan agar audien lebih mudah memahami mesej atau cerita yang hendak kita sampaikan. Agar audien tidak terawang-awang dengan cerita-cerita pada persepsi mereka sendiri. Agar persepsi mereka sama dengan cerita di dalam foto yang kita pamerkan.

Kebiasaannya kekuatan cerita sesekeping foto banyak bergantung kepada watak-watak di dalam foto tersebut, dibantu dengan moment atau detik waktu ianya diambil. Dalam hal ini pastilah foto-foto dalam genre 'human interest' dan 'street photography' lebih kuat pengaruh penceritaannya. Sebagai contoh foto dibawah, 

Qersani | Rumah Tradisional Terengganu | by alzikr

Untuk gambar ini, fotografer hampir tidak perlu lagi menceritakan di dalam 'caption' tentang seorang ayah yang sedang mengajar anaknya untuk menjadi pendekar, sebab semuanya telah terhidang (visual) secara objektif penceritaan tersebut menerusi watak-watak yang dilakonkan. Sama juga halnya dengan gambar dibawah ini,


Sekali pandang, audien sudah memahami maksud yang ingin disampaikan fotografer tentang seorang ibu atau kakak yang sedang melayani anak/adiknya dengan penuh kasih-sayang. Begitu juga dengan cerita-cerita di dalam genre 'street', sebagai contoh,

Tampi | Pasar Payang Terengganu | by alzikr

Sebakul Rezeki | Dermaga LKIM Chendering | by alzikr

Dengan watak yang jelas menonjol didepan frame dalam kedua-dua foto tersebut, adalah terlalu malang kiranya audien masih belum berjaya menangkap cerita/mesej yang hendak fotografer sampaikan. Tapi, sekiranya watak itu kecil dan berada dibelakang, mungkin fokus ceritanya sedikit terganggu. Sebagai contoh,

Warisan Anak Kecil | Kg Tanjung Terengganu | by alzikr

Untuk gambar seperti ini, mungkin agak sukar untuk fotografer mengfokuskan cerita tentang diskriminasi hidup yang berlaku disebuah bandaraya dimana seorang anak kecil mewarisi sebuah rumah kampung yang bakal dirobohkan pada bila-bila masa sahaja bagi tujuan pembangunan disekitarnya. 

Di dalam genre makro dan 'birding' adalah lebih mudah dalam penghasilan karya bercerita. Sebagai contoh foto makro Allahyarham Zul Husain ini, 

by zul husain

Untuk foto yang begitu dramatik seperti ini, dengan satu perkataan 'KERJASAMA' sahaja sudah cukup untuk menghuraikan keseluruhan isi gambar. Begitu juga dengan yang ini,

by zul husain

'BULAN MADU DI LANGIT BIRU' adalah satu judul yang paling tepat untuk foto romantik ini.

Di dalam 'birding' pula sebagai contoh;

Kasih Sayang | Baya Weaver | by alzikr

Namun begitu, tema kasih sayang yang hendak fotografer sampaikan melalui foto burung Baya Waver diatas adalah kurang jelas disebabkan komposisi yang kurang menarik dan gangguan (distraction) pada 'background'nya. Sebagaimana yang telah dibincangkan di dalam entry-entry sebelum ini, komposisi adalah komponen yang sangat penting dalam menguatkan penceritaan sesebuah gambar. Lebih-lebih lagi sekiranya gambar tersebut di dalam genre landskap dimana tiadanya watak-watak manusia yang menjadi 'pencerita' di dalam gambar.

Berteduh Dibawah Langit | Kenyir | by alzikr

Gambar ini sebagai contoh. Mungkin audien sudah boleh mengagak mesej 'berteduh dibawah langit' itu dengan komposisi perahu-perahu yang sedang berehat diatas rakit yang diperbuat daripada balak, dibawah lorotan awan gemawan. Tetapi penyampaiannya belum cukup kuat untuk menggambarkan keadaan 'berteduh' itu.

Sepi Seorang Gembala | Kg Pok Pa Terengganu | by alzikr

Berbeza dengan gambar ini. Dengan kehadiran seorang watak manusia, ditambah dengan kambing-kambing peliharaannya langsung memberi mesej yang jelas tentang 'Sepi Seorang Gembala'. Tapi itu pun bagi sesetengah audien masih lagi kritikal, "dah ada kambing-kambing tu, sepi apa lagi kan?" :)

Kasih Tak Sampai | Pulau Perhentian Terengganu | by alzikr

Gambari ini pula cuba menceritakan tentang 'kasih yang tak sampai'. Dengan komposisi selipar yang tidak sampai ke jeti dan tali sauh yan seolah-olah terpisah dari perahu mungkin boleh menyampaikan maksud tersebut. Sekuat mana penyampaiannya? wallahualam, terpulang pada penilaian audien masing-masing.

Orang Ketiga | Pulau Kabu Terengganu | by alzikr

Persandaran | Pulau Kabu Terengganu | by alzikr

Tetapi memang tidak dapat dinafikan bahawa komposisi yang baik sangat membantu dalam menguatkan penceritaan, meskipun tiada kehadiran watak-watak manusia ataupun hidupan. Dua gambar diatas ini sebagai contoh. Dengan meminimakan komposisi, ia telah 'memaksimakan' peceritaan gambar-gambar tersebut. Dengan komposisi yang minima, pnadangan audien lebih fokus dan lebih mudah memahami penceritaan gambar tanpa diganggu oleh persepsi-persepsi lain yang terhasil dari komposisi yang bukan-bukan. Sampai setakat ini dahulu perkongsian kali ini. Segala yang baik datang dari Allah, mana yang kurang baik juga datang dariNya tapi diatas asbab kelemahan dan kejahilan diri saya. Wallahualam, selamat bereksprimentasi.

No comments:

Post a Comment