Monday, March 15, 2021

Solat Bukan Satu Beban; Ia Tanda Kasih Sayang

Salam Israk dan mikraj. 

Kita sering diriwayatkan dengan peristiwa turun-naik Baginda Nabi SAW untuk menghadap Allah SWT bagi mengurangkan bilangan solat yang berjumlah 50 waktu yang dikatakan akan tidak tertanggung (menjadi beban) kepada umat Baginda. Maka jadilah solat itu 5 waktu. Fokus kita ketika membicarakan peristiwa itu adalah betapa beratnya kefardhuan solat sehingga 5 waktu pun tidak mampu dilaksanakan oleh umat Baginda Nabi SAW. Kita terlupa pada sisi pandang yang lain bahawa Kasihnya Allah kepada kita sehingga Dia bukan sahaja menyuruh bahkan mewajibkan (fardhu) kita untuk bertemu denganNya (melalui solat). 50 waktu itu seolah-olah Dia langsung tidak mahu kita berpisah atau terputus hubungan denganNya. Dia seolah-olah tidak mahu kita meninggalkan, berpaling dan melupakan Dia. Betapa Dia terlalu menginginkan kita terus berada di dalam Rahmat dan Kasih-sayangNya. Dialah sebenar-benar Kekasih.

Malangnya kita tidak memahami Dia. Bukan 50, hatta setakat 5 waktu pun kita menolak 'pertemuan' denganNya. Kadangkala kita tidak bersungguh, sambil lewa dan cuai dalam 'pertemuan' yang hanya 5 waktu itu. Sedangkan Kekasih kita menyeru dengan mendayu-dayu agar kita datang menyambut 'pertemuan' denganNya. Dia memanggil, "Zakaria, Zakaria.. Datanglah kepada Tuhanmu Yang Maha Besar." Dia memanggil lagi, "Zakaria, Zakaria.. Datanglah kepada Tuhanmu Yang Maha Besar." Dia menyeru lagi, "Serulah anak isterimu datang kepadaKu. Ajaklah mereka kembali kepadaKu. Bawalah mereka kepada fitrah. Inilah jalan kejayaan. Inilah jalan kebahagiaan. " Namun aduh! kita masih memekakkan telinga. 

Dalam kita memekakan telinga dengan seruanNya, Dia dengan kasih sayangNya masih lagi menarik-narik hati kita untuk bertemu denganNya. Dia mengingatkan kita akan dosa, akan azab jika kita menolak 'pertemuan' itu. Lalu kerana takutkan azab, kita turutkan juga 'pertemuan' itu. Kita bawa hati yang terpaksa, dengan jiwa yang lalai untuk 'bertemu' denganNya. 

Namun dia tetap dengan Kasih sayangNya terhadap kita. Dia kurniakan KudratNya untuk kita mengangkat takbir. Dia kurniakan QalamNya untuk kita membaca (berbicara) Alfatihah. Dia kurniakan Sama'Nya untuk kita 'mendengar' perbicaraan itu. Dia kurniakan BasharNya untuk kita perhatikan pertemuan itu. Dia kurniakan HayatNya untuk hidup, menyempurnakan 'pertemuan' itu. Aduh... tiada satu pun milik kita pada 'pertemuan' itu bahkan pada setiap detik hidup kita. Mengapa kita tidak bersungguh-sungguh, bahkan tergamak menolak 'pertemuan' denganNya??

Pun begitu Kasih sayangNya terhadap kita tetap tidak berubah. Dia masih memberikan kita hidup; memberikan kita peluang demi peluang untuk menyambut KasihNya. Dia tidak pernah melupakan kita. Tidak. Tidak pernah sama sekali. Kerana kalau Dia melupakan kita; pasti kita sudah binasa. 

Dia terlalu Kasih kepada kita. Dia sangat menginginkan agar kita kembali menyerah diri kepadaNya; menyambut Kasih sayangNya. Setiap detik, Dia terus memetik-metik hati kita untuk mengingati Dia. Setiap saat, Dia terus memahat-mahat jiwa kita untuk berbuat taat. Sebab itu manusia yang ikhlas 'pertemuan' dengan TuhanNya ketika di dalam solat, maka 'pertemuan' itu kekal dibawa-bawa keluar solat (solatul daimun). Mereka menyedari, merasai Rahmat dan Kasih sayang Allah disepanjang kehidupan sehariannya. Hiduplah mereka di dalam ihsan - Ingat-mengingati, perhati-diperhati, Kasih-mengasihi, Cinta-mencintai diantara Pencipta dan hamba. Makanya solat yang 5 waktu itu menyamai solat 50 waktu.

CONCEPTUAL PHOTOGRAPHY by Alzikr Studio 0176559773

#AlzikrStudio 
#weddingphotography
#wedding
#fotografer_Terengganu

No comments:

Post a Comment