Monday, March 7, 2016

Zen Garden

Kali ini saya akan kongsikan sebuah projek landskap bertemakan 'Zen Garden'. Berbanding gaya konsultan, gaya penyelidik seperti saya lebih selesa menyiap dan memperincikan projek ini berbentuk kajian dan pemerhatian. Untuk saya bahagikan penulisan ini berdasarkan 4 bahagian; Kajian awal, Proposal + quotation, Kerja pembinaan dan Skop + kelemahan/kekurangan + cadangan.

1. KAJIAN AWAL

Untuk menentukan atau mencadangkan sesebuah konsep taman/landskap kepada pemilik kediaman, pengkaji perlu mendapatkan beberapa maklumat penting terutamanya minat dan kecenderungan pemilik kediaman,  tahap kesediaan pemilik untuk kerja-kerja penyelenggaraan, aktiviti harian keluarga pemilik di laman dan sebagainya. Untuk mendapatkan maklumat-maklumat ini, penyelidik melakukan 'temubual mendalam' bersama pemilik dan ahli keluarganya. Hasil temubual tidak berstruktur tersebut pengkaji merumuskan bahawa;

1. Pemilik dan keluarganya lebih meminati tumbuhan yang tidak berdaun lebat. Salah satu penyataan pemilik yang boleh saya quot, "Saya lebih meminati pokok sebegitu (sambil menunjukkan pokok yang hanya beranting-ranting) berbanding pokok ini (sambil menunjuk sepohon pokok berdaun lebat).
2. Pemilik mahukan sebuah taman yang minimal, tidak 'crowd' dan kurang penyelenggaraan.
3. Pemilik tidak mahukan rumput-rumput liar tumbuh dan menyesar di dalam kawasan kediaman.
4. Pemilik mahukan taman yang sesuai untuk aktiviti berkeluarga seperti BBQ, berkumpul dan sebagainya.
5. Pemilik sukakan kehadiran unsur-unsur semulajadi disekitar kediaman, tetapi tidak terlalu banyak tumbuhan.
6. Pemilik gemar melakukan refleksiologi dan aktiviti-aktiviti ringan.


Seterusnya pengkaji melakukan pemerhatian terhadap mikroklimaks di sekitar kediaman termasuk arah matahari naik dan jatuh, laluan angin, suhu dan keadaan tanah.

2. PROPOSAL + QUOTATION

Hasil dari kajian awal tersebut pengkaji mencadangkan konsep 'Zen Garden' kepada pemilik kediaman dengan kos pembinaan sekitar RM8000 - RM9000. Konsep ini dicadangkan bersesuaian dengan citarasa pemilik dan keluarganya yang cenderung akan minimalis, kurang tumbuhan, semulajadi dan kurang penyelenggaraan. Pemilihan primary tree seperti Variegated bucida dan secondary tree seperti Podocarpus macrophyllus turut dilakukan dengan mengambilkira faktor-faktor diatas. Kedua-dua tumbuhan ini tidak berdaun lebat, berdaun halus dan tidak menyemakkan persekitaran sekira daunnya gugur, lebih-lebih lagi berhadapan dengan persekitaran pantai dimana halaju anginnya agak tinggi. Pemilihan Cuphea hyssopifolia sebagai penutup bumi lapisan pertama dan Kyoto dwarf sebagai lapisan kedua turut mengambilkira faktor-faktor yang sama. Sifat pertumbuhan Kyoto dwarf yang tidak agresif memudahkan kerja penyelenggaraan berbanding rumput biasa yang sentiasa perlu dipotong. Serakan akarnya yang tidak terlalu padat juga memudahkan kerja-kerja merumput/membuang rumpai berbanding rumput biasa. 

Lakaran pelan 'bird eye' (draf keseluruhan tidak disertakan di sini bagi menjaga keeksklusifan taman pemilik)
Contoh inspirasi 1
Contoh inspirasi 2
Contoh inspirasi 3
Contoh inspirasi 4
Contoh inspirasi 5
3. KERJA PEMBINAAN

Setelah mendapat persetujuan pemilik, proses pembinaan dimulakan dengan kerja-kerja membersih kawasan dan meratakan tanah. membina pavement dengan pebbles wash, membuat 'mount tanaman' atau lebih dikenali 'island' dalam seni landskap, menanam pokok, menyusun stepping stones & reflexology steps, mendirikan Sanzon stones grouping dan meratakan batu sungai dan batu kuari. Proses pembinaan mengambil masa seminggu untuk disiapkan. 

1. Kerja-kerja menyiapkan pebbles wash
2. Kerja-kerja mendirikan Sanzon stone grouping 
3. Sanzon stone grouping
4. Kerja-kerja meratakan batu sungai & batu kuari

Turut dilampirkan foto-foto sebelum dan selepas proses pembinaan.





4. SKOP, KELEMAHAN/KEKURANGAN & CADANGAN

Pemerhatian selepas pembinaan mendapati hampir kesemua kriteria pemilik dan keluarganya dipenuhi. Peletakan reflexology steps yang bersambung dengan pavement yang diperbuat dari pebbles wash dan susunan batu kuari (yang membentuk 'dry stream') memandu mata dan langkah pengunjung dari pintu pagar terus ke pintu sisi kediaman pemilik.  
Reflexology steps untuk pemilik berefleksiologi
Konsep Zen yang minimalis sebegini mengurangkan kerja-kerja penyelenggaraan, memberi ruang yang lebih luas dan tidak menyesakkan pandangan. Susun atur Sanzon stones grouping dan Japanese Lantern diletakkan pada 'point of interest' untuk menarik perhatian pemilik rumah dan pengunjung dari 'point of view' seperti pintu utama dan pintu pagar. 

Pandangan dari pintu utama yang menampakkan Sanzon dan Japanese lantern
Pemilihan batu sungai dan batu kuari yang berbeza dari sudut tekstur dan warna menimbulkan satu pandangan yang kontras pada mata. Susunannya yang tidak formal dan bereluk-reluk telah mengurangkan 'suasana keras' yang terhasil dari porch kereta, dan stepping stones yang bersegi-segi.

Pandangan dari pintu utama ke pintu pagar
Kehadiran Kyoto dwarf yang ditanam diatas 'island' sebagai penutup bumi berfungsi sebagai 'softscape' untuk mengimbangi komposisi 'hardscape' yang menguasai ruang kediaman.

'Island' dan Sanzon stones grouping
Sudut-sudut laman 'dilembutkan' dengan kehadiran 'islands'. Ia dikombinasi pula dengan Podocarpus macrophyllus yang digubah menjadi topiary dan Japanese lantern bagi menguatkan lagi konsep Zen yang hendak di tampilkan.

Kobinasi 'islands', Japanese lantern dan topiary
Namun begitu skop projek ini buat masa ini hanya merangkumi kerja-kerja landskap asas, maka sedikit kelemahan/kekurangan dapat diperhatikan pada taman ini (buat masa ini). Kekurangan tersebut adalah seperti ketampakan 'manhole' dan longkang yang agak ketara. Cadangan pengkaji pada masa akan datang agar dibina sebuah wakaf/gazebo diatas manhole tersebut. Longkang pula perlu dipasangkan penutup longkang yang bersesuaian. 

Ketampakan manhole dan longkang yang terdedah
Untuk penutup longkang yang lebih berinovasi dan menyokong ciri-ciri kelestarian alam sekitar, adalah dicadangkan penutup longkang dari jenis C-Drac seperti rajah di bawah: 
foto Sinar Harian Online
Sekian dulu perkongsian saya buat masa ini. Sekiranya anda berminat untuk membina landskap kediaman atau mempunyai sebarang masalah mengenai taman kediaman, anda boleh bertanyakan kepada saya melalui whatsapp 0176559773. Terima kasih.


~ Mohd Zakaria Hj Hamzah, Msc. Parks & Recreation Management (UPM)