Thursday, September 19, 2013

Tips Untuk Survival Dengan Kenaikkan Harga Minyak dan Harga Barangan Keperluan

Bercakap soal kenaikkan harga minyak disusuli dengan jujutan kenaikan harga barangan lain satu persatu, tiada apa yang rakyat marhaen seperti kita dapat lakukan selain mendengar cadangan sinis seperti "minyak mahal, jangan naik kenderaan. Jalan kaki", "ayam mahal, jangan makan ayam. Makan daging", "rumah mahal, jangan beli rumah. Tidur bawah jambatan" dan "semua ini (kenaikan harga minyak dan harga barangan) adalah ketentuan Allah." Namun sebagai manusia yang bijak dan hamba Allah yang berakal, kita tidak sepatutnya dungu untuk akur dengan cadangan-cadangan sinikal seperti itu. Tidak cukup dengan merungut-rungut (yang tidak membawa apa-apa perubahan), kita perlu perbuat sesuatu yang layak dan kena dengan kemampuan kita, selain menyerahkan tindakan-tindakan yang lebih besar dilakukan oleh organisasi, persatuan atau pihak yang berkewajipan membela nasib rakyat.


Terdapat dua ofsyen proaktif yang boleh diambil untuk terus beradaptasi dengan persekitaran kenaikkan harga minyak yang mendadak ini, iaitu samada 1) lakukan penjimatan petrol ataupun 2) menambahkan pendapatan. Dari minda yang lemah seperti saya, untuk ofsyen yang pertama, beberapa tips atau langkah yang boleh diambil diantaranya:

  • Panaskan enjin kenderaan anda sekurang-kurangnya 5 minit sebelum memulakan perjalanan. Ini bertujuan untuk meningkatkan prestasi enjin dan memastikan enjin dapat berfungsi secara optimum.
  • Kurangkan penggunaan penghawa dingin di dalam kereta terutamanya ketika melalui kawasan semulajadi atau kawasan berudara segar. (Tips ini tidak boleh digunakan dikawasan sesak dan berudara kotor, lebih-lebih lagi mempunyai kanak-kanak di dalam kereta.)
  • Matikan enjin kereta semasa menunggu lebih dari 10 minit. Kenderaan dalam keadaan statik membakar bahan api dengan tidak lengkap, dan keadaan ini juga boleh menyumbang kepada kerosakan enjin.
  • Kurangkan penggunaan brek atau brek mengejut dengan mengawal 'jarak selamat' antara anda dengan kenderaan dihadapan serta mengurangkan kelajuan (melepaskan pedal minyak) sebelum berhenti. Ini kerana membrek kenderaan ketika ia sedang laju boleh membazirkan bahan api (tenaga pecutan) bahkan ia juga boleh merngurangkan jangkahayat brek itu sendiri. (Saya paling kasihan melihat pemandu yang masih memecut dan memotong kenderaan lain walaupun 10 meter di depannya adalah lampu isyarat merah!)
  • Pastikan anda menggunakan gear yang betul. Penggunaan gear yang rendah pada kelajuan yang tinggi akan mengakibatkan pembaziran bahan api. RPM kenderaan berfungsi dengan baik pada RPM 1500 ke 2500. 
  • Tekan pedal minyak perlahan-lahan apabila memulakan perjalanan. Jangan sesekali memaksa RPM sehingga mencecah 'redline' pada setiap gear ketika memulakan perjalanan atau selepas lampu isyarat. Penggunaan gear rendah yang terlalu lama sebelum menukar ke gear seterusnya turut menyumbang kepada pembaziran bahan api. Pandu kenderaan dengan kelajuan yang konsisten (tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan).
  • Kurangkan beban kenderaan anda dengan mengeluarkan barangan yang tidak sepatutnya berada di dalam kereta. Cara ini bukan saja mengurangkan tenaga untuk menggerakkan kenderaan anda, bahkan memberi ruang yang lebih selesa dan kemas kepada anda dan penumpang yang lain.
  • Pastikan tekanan tayar kenderaan anda berada dalam keadaan yang sepatutnya (mengikut model kenderaan dan tayar yang digunakan). Tekanan yang betul membantu mengurangkan 'daya geseran' antara tayar dan permukaan jalan. Periksa tekanan tayar seminggu sekali.
  • Servis kenderaan anda secara berkala mengikut jadual servis yang ditetapkan. Periksa sebarang kebocoran atau kegagalan seperti penapis udara yang tersumbat, pelarasan skru karburetor yang tidak tepat, ekzos yang tersumbat, plug, injap, mampatan dan lain-lain. Faktor kebocoran dan penalaan enjin yang tidak sesuai boleh meningkatkan penggunaan bahan api melebihi 50%. 
  • Isi petrol pada waktu yang sesuai seperti pada waktu malam, di awal pagi dan ketika hujan bagi mengurangkan permeluapan bahan api ke udara akibat suhu panas.
  • Rancang perjalanan anda dengan bijak. Cari jalan alternatif dan elakkan kesesakan lalulintas. Percayalah, jalan yang sedikit jauh tetapi kurang trafik lebih jimat berbanding jalan yang dekat tetapi penuh kesesakan trafik. 
  • Minimumkan perjalanan berjarak dekat. Sebagai langkah penjimatan petrol, eloklah menaiki motosikal atau berbasikal (jika diluar bandar) untuk ke surau atau kedai berhampiran.
  • Istiqomahlah dengan segala tips diatas. Saya kagum dengan anda sekiranya anda dapat beristiqomah dengan segala tips tersebut. Sebab, sebahagian besar dari sahabat-sahabat saya hanya merungut-rungut akan kenaikan harga petrol, dan mampu bertahan dengan langkah penjimatan ini tidak lebih dari 5 bulan pertama kenaikan harga. Bulan seterusnya mereka kembali kepada gaya asal. Mereka sudah berhenti merungut dan lupa akan kenaikan harga petrol tersebut. Apa lagi jika 4 tahun selepas itu mereka diberikan BR1M, mereka jadi hilang ingatan terus. :)
Opsyen kedua adalah dengan menambahkan pendapatan. Sebagaimana dicadangkan oleh kerajaan, rakyat marhaen seluruhnya diminta meningkatkan prestasi kerja dan pengeluaran. Andai kata anda seorang peniaga kecil, jika dahulu anda menjual 50 bungkus nasi lemak, hari ini anda perlu meningkatkannya kepada 70 bungkus. Atau anda kekalkan 50 bungkus pada harga yang sama, tetapi anda kurangkan sedikit bilis dan nasi di dalamnya (ini haram dan berdosa, diharap anda jangan sesekali melakukannya!). Jika anda seorang buruh pada siang hari, anda disarankan mencari kerja tambahan pada malam hari seperti menjadi atenden pam minyak atau menjual burger pada malam hari. Namun begitu, walaupun idea ini tampak bernas, tapi ia tidak sesuai bagi anda yang berkeluarga, yang punyai anak isteri. Masa untuk menyiapkan lebih 20 bungkus nasi lemak ataupun kerja sambilan pada malam hari itulah sahaja masa yang anda ada untuk diperuntukkan kepada anak dan isteri. Untuk bersama mereka, mendidik-membelai mereka dan mendengar suara dan cerita mereka. Betul, mencari duit lebih untuk menampung lebihan perbelanjaan akibat kenaikan harga petrol dan barangan itu perlu (harus), tetapi mendidik isteri dan anak-anak itu adalah wajib. Diantara desakan keperluan dan keutamaan kewajipan ini, minda kecil saya sekali lagi mencadangkan kepada anda beberapa perkara seperti berikut: 
  • Apa kata sekiranya anda boleh menjual kain, biskut, kerepek atau keperluan lain diwaktu rehat di pejabat anda. Kalau biskut atau kerepek, dapatkan saja sampel dari kilang yang anda kenal dan berikan rakan pejabat anda rasa. Jika mereka berminat, sediakan borang tempahan. Dan anda hanya perlu membawa biskut/ kerepek tersebut mengikut kuantiti yang ditempah. Kalau anda berminat untuk berniaga kain/kemeja sutera batik, anda boleh ke Aura Batik yang diusahakan saya :)
  • Anda juga boleh mulakan perniagaan menerusi internet (facebook, twitter, blog dan lain-lain). Tahukah anda terdapat lebih daripada 18,000,000 pengguna internet di Malaysia sahaja dan lebih daripada 1,800,000,000 pengguna internet diseluruh dunia. Dan jumlah tersebut meningkat dari semasa ke semasa. Dengan mempunyai perniagaan internet, anda boleh memanfaatkan jumlah pengguna yang begitu ramai ini yang berkemungkinan menjadi pelanggan anda suatu masa nanti. Keberangkaliannya adalah begitu tinggi.
    Lagi pula membuka perniagaan di internet seolah-oleh anda membuka 'kedai' anda 24 jam sehari tanpa henti (selagi mana akaun blog/laman sosial anda tidak 'interrupted') hatta anda sedang nyenyak tidur sekalipun, 'kedai' anda masih dilayari oleh pelanggan dari seluruh dunia.  Perniagaan internet juga tidak memerlukan pekerja, cukup anda dan pasangan anda menguruskannya walaupun berada di rumah. Jadi jangan berlengah, gunakanlah peluang yang ada ini sebaiknya. Carilah satu produk atau perkhidmatan yang kena dengan hobi dan kemampuan anda yang boleh memenuhi keperluan pengguna. Perhatikan disekeliling anda, apa keperluan masyarakat umum yang boleh anda manfaatkan sebagai produk atau perkhidmatan seperti busana, keperluan ibu mengandung, keperluan bayi & kanak-kanak, perkakas dapur, perkakas pejabat atau perkhidmatan fotografi, menjahit pakaian, membuat laman web, solekan dan banyak lagi. Mungkin apa yang saya senarai ini sudah banyak dibuat orang, namun percayalah saya ia masih belum dapat menampung permintaan seluruh penduduk dunia. Anda perlu lebih kreatif dan pelbagaikan bentuk produk dan perkhidmatan yang lebih spesifik dan berkualiti untuk bersaing dengan pasaran sedia ada. Dan jika anda tidak mahu bersaing, fikirkan satu bentuk produk atau perkhidmatan yang belum pernah orang lain lakukan (sekiranya ada, jangan lupa emailkan kepada saya :) ). 
  • Selain itu, anda juga boleh menyertai perniagaan berasaskan MLM (Multi Level Marketing). Perlu anda ketahui bahawa bukan semua MLM adalah bohong dan menindas. Cuma jangan sesekali menyertai MLM yg memerlukan anda mengeluarkan wang atau berhutang dengan nilai puluhan ribu untuk membeli produk dan menjadi ahlinya. Ini bukan saja menyusahkan lagi hidup anda dengan kenaikkan harga petrol dan harga barang, silap haribulan anda boleh muflis terus. Jadi, menyertai MLM memerlukan anda meluangkan sedikit masa untuk berfikir dan mengkaji sejarah syarikat, produk, dan penggerak syarikat tersebut. Dapatkan info dari kawan-kawan yang pernah menyertainya. Ada beberapa syarikat MLM yang boleh saya syorkan kepada anda, yang saya sendiri pernah menjadi ahlinya. Syarikat-syarikat tersebut adalah Ana Edar (yang terkenal dengan produk Qaseh kekanda & Adinda) dan HPA (yang terkenal dengan produk minuman Radix). Alhamdulillah, kedua-dua syarikat tersebut bagus (dari segi produk dan pengurusannya) lagi pula digerakkan oleh pengusaha Muslim yang boleh diyakini  status halal dan kebersihannya. Saya masih lagi bersama-sama produk keluaran mereka, cuma hari ini saya memilih untuk memasarkan produk Shaklee. Kenapa saya memilih Shaklee? Nanti saya ceritakan di dalam artikel yang akan datang.

Sunday, September 8, 2013

Petua Banyakkan Susu Badan 3 | POWER PUMPING

Tahukah anda apa itu 'Power Pumping?'


Power Pumping ada satu sesi perahan intensif selama 1 jam. Waktu terbaik untuk melakukannya adalah antara tengah malam hingga awal pagi dimana ketika ini hormon prolaktin berada pada paras yang tinggi. Suasana malam yang tenang dan dingin juga membantu mengurangkan stress pada si ibu, seterusnya memudahkan hormon oksitosin keluar.

Bagaimanakah caranya 'Power Pumping?'


Power Pumping boleh dibahagi kepada dua iaitu;

  1. Single Pump : Pump payudara kanan selama 10 minit, kemudian disusuli dengan payudara kiri selama 10 minit. Lakukan berulang kali selama 1 jam. Ini bermakna setiap payudara akan mendapat 3 X 10 minit perahan (bersamaan 30 minit setiap payudara). 
  2. Double Pump : Pump kedua-dua payudara serentak selama 10 minit dan berehat selama 10 minit. Diulang berulang kali selama 1 jam. jadi kedua-dua payudara juga mendapat perahan selama 3 X 10 minit (bersamaan 30 minit setiap payudara).

Bagaimana cara menyimpan hasil perahan?


Hasil perahan 3 sesi ini boleh dicampurkan ke dalam 1 bekas untuk disimpan dengan syarat semuanya mempunyai suhu yang sama. Jadi ketiga-tiga susu tersebut perlu disejukkan di dalam peti sejuk bahagian bawah terlebih dahulu selama 1 jam bagi menyamaratakan suhunya. Kemudian barulah boleh dicampurkan kesemua susu tersebut di dalam 1 bekas untuk dibekukan di dalam peti ais (bahagian atas) atau freeze. 

Berapa lama harus lakukan 'Power Pumping?'


Power pumping disarankan agar dilakukan selama 1-2 minggu secara berterusan. Harus diingatkan di sini bahawa hasil perahan tidak akan sama, kadang-kadang hasil perahan bertambah, dan kadang-kadang pula ia berkurang. Lantaran itu si ibu dinasihatkan agar bersabar dan teruskan sesi mengepam. InsyaAllah pasti ada kejayaan.

Petua Banyakkan Susu Badan 2

Artikel ini adalah sambungan daripada artikel sebelum ini yang berjudul 'Petua Banyakkan Susu Badan 1'. Kalau sebelum ini dibincangkan mengenai teknik penyusuan, faktor pemakanan dan suplemen tambahan, kali ini saya ingin menyentuh tentang disiplin dalam mengepam. 

Bagi ibu yang bekerjaya, proses mengumpul stok susu perlu dimulakan seawal minggu pertama berpantang lagi. Ini kerana sedari awal tempoh kelahiran/waktu berpantang, hormon badan si ibu amat kuat ransangannya untuk menghasilkan susu. Dan peluang ini harus digunakan sebaiknya untuk mengekalkan rangsangan pada kelenjar susu dengan menyusukan bayi atau dengan cara mengepam keluar susu. 

Sikap sambil lewa dan bertangguh dalam usaha mengumpul stok susu menyebabkan anda 'cuak' dan 'panik' pada suatu hari nanti apabila sudah tiba waktu masuk kerja, tapi stok susu yg terkumpul masih tidak seberapa. Hasilnya anda sendiri berasa 'frust' dan niat kukuh yang dipasang untuk 'fully breast feed' suatu ketika dahulu terbantut terus. Yang rugi adalah si manja anda dan anda sendiri. 

Oleh yang demikian, disiplinkan diri anda (untuk menyusukan bayi dan mengepam) seawal tempoh berpantang; sabar dan konsistenkanlah jadual mengepam. 

  1. Senantiasa berfikiran positif bahawa anda mampu menyusukan bayi anda sepenuhnya.
  2. Penuhi konsep asas penyusuan 'demand & supply'.
  3. Kosongkan payudara sekerap mungkin. Amalkan pump setiap 2-3 jam sekali. Jarak antara satu sesi pump tidak boleh lebih dari 4 jam.
  4. Jika bayi ingin menyusu ketika sesi mengepam, utamakan bayi terlebih dahulu. Biarkan dia menyusu sehingga puas, kerana hisapan bayi adalah rangsangan terbaik. Kemudian sambung sesi mengepam sehingga payudara dikosongkan.
  5. Seandainya bayi menyusu disebelah sahaja, maka amalkan 'pump' payudara yang lagi sebelah. Kaedah ini bukan saja memberi peluang anda mengumpulkan stok susu bahkan memberi rangsangan sepenuhnya kepada badan. Ia dipanggil Tanderm Pumping/Nursing.
  6. Kaedah 'Power Pumping' adalah satu lagi kaedah yang amat berkesan untuk menambahkan penghasilan susu dan pengumpulan stok. Namun begitu ia memerlukan komitmen yang sangat tinggi dari si ibu.
  7. Jangan lupa untuk minum air kosong 3-4 liter sehari.
  8. Amalkan makanan seimbang dan berkhasiat.
  9. Sekiranya mampu, ambillah Suplemen Penyusuan megikut kesesuaian tubuh dan bajet anda.
  10. Jangan lupa untuk bacakan Basmallah setiap kali ingin menyusukan bayi atau mengepam susu. Amalkan zikir-zikir terpilih dan selawat pada Junjungan Besar Nabi SAW dan teruskan berdoa semoga diurahkan rezeki untuk anda dan juga si comel anda. InsyaAllah.