Thursday, January 30, 2014

Kelemahan-kelemahan dalam Komposisi

Bismillahhir Rahmannir Rahim..

Setelah mengenali bentuk-bentuk dan asas komposisi, adalah elok juga kalau kita mengenali pula kelemahan-kelemahan yang sering kita dapati di dalam mengkomposisi. Saya gunakan perkataan 'kelemahan' menggantikan perkataan 'kesilapan' kerana, (seperti yang telah dibincangkan di dalam posting-posting sebelum ini) fotografi adalah satu seni yang sangat subjektif, bersandar pada citarasa, persepsi, kreativiti, 'mood', dan naluri seseorang, samada dia seorang fotografer mahupun dia seorang audien yang memerhati foto. Dan kerana ianya seni-lah, pendirian saya tidak menggunakan perkataan 'kesilapan'. Kerana boleh jadi apa yang kita tafsirkan silap itu sebenarnya sesuatu yang disengajakan. Atau boleh jadi juga apa yang kita tafsirkan silap itu sebenar satu keunikan pada tafsiran orang lain. Itulah seni namanya. Atas dasar itu, sebagai menghormati pengkarya-pengkarya dibidang ini, saya memilih untuk menggunakan perkataan 'kelemahan' dalam komposisi. 

Kelemahan-kelemahan dalam komposisi yang sering kita jumpai adalah seperti 'out of frame', 'image blending', ruang kosong, tight dan banyak lagi. Berikut saya kongsikan beberapa contoh kelemahan tersebut;


Biasan | Pullman Lake Putrajaya | 2013

Kelemahan komposisi bagi gambar diatas adalah bahagian foregroundnya telah membawa (lead) mata audien keluar dari frame. Walaupun disambung semula 'lead' yang terputus itu dengan jambatan, tetapi ia tetap mencacatkan komposisi gambar.

Selamat Datang | Pulau Duyong Terengganu | 2014

Gambar ini mengunakan komposisi berbentuk 'stepping stones'. Tetapi kelemahannya adalah, 'stone' yang kedua yakni bot ditengah sungai itu telah sedikit ter'blending' dengan resort dibelakannya. Sepatutnya kedudukan kamera mesti diangkat tinggi sedikit dan lensanya dihalakan ke bawah untuk memesihkan ketiga-tiga objek utama tersebut dari bertindih.

Pantai Kemasik Terengganu | 2012
 
Gambar ini pula terlalu banyak ruang kosong baik dibahagian foregound mahupun pada dibahagian background. Sepatutnya fotografer mesti bergerak sedikit lagi ke depan mendekati batu tersebut, melainkan jika dia ingin merakamkan alunan ombak (bora).

Kuala Lumpur City Centre | 2013

Sebaliknya, gambar ini pula terlalu 'tight'. Sepatutnya capahan lensa yang lebih 'wide' digunakan utk ruang pergerakan fotografer yang terhad dengan subjek yang besar seperti ini.

Kelemahan-kelemahan yang sama juga sering didapati didalam genre-genre foto yang lain, di dalam 'birding' sebagai contoh, 

Enterframe | Yellow-belied Sunbird | 2013

Penggunaan judul 'Enterframe' untuk gambar ini adalah untuk 'cover' kelemahan yang berlaku dalam gambar. Pun begitu, ia masih kelihatan lemah kerana burung betina tersebut terkeluar dari 'frame'. Seandainya kedua-dua pasangan burung ini dapat di'frame'kan dengan baik, ia pasti menguatkan lagi penceritaan yang ingin disampaikan. 


It's a Life of Test | Putrajaya Wetland | 2012

Di dalam gambar ini pula terlalu banyak objek yang bertindih (blending) dengan subjek, termasuklah jeti, kayak dan bangunan-bangunan nun jauh dibelakang sana. Ia mungkin boleh dibaiki jika objek-objek yang bertindih tersebut dibokehkan dengan penggunaan aperture yang besar, close up dan sebagainya (akan dibincangkan pada posting yang akan datang).


Pedoman | Masjid Besi Putrajaya | 2013

Gambar ini, walaupun kelihatan di'framing'kan dengan baik, tapi kelemahannya adalah 'framing' itu telalu ketat (tight), terutamanya pada bahagian bawah gambar. Ia boleh dibaiki sekiranya fotografer berundur sedikit ke belakang.

Gila-gila Remaja | FIM Asia Motorcross | Gong Badak | 2011

Untuk gambar 'sport' seperti ini pula, kelihatan terlalu banyak objek yang hendak dirangkumkan, sekaligus melemahkan watak utama (si penunggang) di dalamnya. Komposisi ini mungkin boleh dibaiki jika di'crop' sedikit dibahagian bawah gambar dan pada banner start/finish tersebut. Wallahualam.

Cukup setakat ini dahulu perkongsian untuk kali ini. Jika berkelapangan pada masa akan datang, insyaAllah saya akan menyambung ke topik-topik yang seterusnya. Terima kasih, selamat bereksprimentasi.

Tuesday, January 28, 2014

Kenali Komposisi dalam Fotografi II

Bismillahir Rahmanir Rahim..

Sebagaimana yang dijanjikan kelmarin, hari ini insyaAllah dengan sedikit info dan pengalaman mentah yang saya ada, saya akan menyambung lagi beberapa bentuk komposisi dalam fotografi. Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk ditekuni. 

Selain 'lead in line' berbentuk garis perspektif, curve dan stepping stone, komposisi berbentuk titik fokus juga sering kita temui dalam fotografi. Kebiasaannya komposisi begini kekuatan 'lead'nya terletak samada pada foreground mahupun sideground. Ia membawa mata audien terus kepada subjek tanpa ada lagi sambungan 'lead' yang lain. Sebagai contoh,

Cermin Mimpi | Pulau Kerengga Terengganu | 2013
Dengan sedikit bantuan dari tinggalan jambatan yang roboh ini, ia menjadi penunjuk untuk audien terus memerhati kepada subjek utama, yakni dirian pohon kelapa itu. 

Di dalam genre street pula sebagai contoh; 

Rakyat Marhaen | Pelabuhan LKIM Chendering Terengganu | 2013

Perhatikan bagaimana mata anda sebagai audien dikawal oleh komposisi perahu-perahu itu untuk fokus kepada seorang nelayan diatasnya. 

Komposisi seumpama ini hampir sama dengan satu lagi bentuk komposisi yang dikenali sebagai 'framing'. Kekuatan komposisi 'framing' ini adalah apabila ia memerangkap pandangan audien terus ke dalam subjek. Sebagai contoh, 

Masjid UTP | Perak | 2013
Atau sebegini, 

Dari Jendela Diri | Mines Resort City | 2013

Atau dalam genre 'human interest' kita dapati sebegini, 

Dalam Mihrab Cinta | Masjid Putra Putrajaya | 2013

Atau sebegini,

Perusahaan Bilis | Seberang Takir Terengganu | 2013

Atau boleh juga didapati dalam genre potret seperti ini,

Hopeless | Seberang Takir Terengganu | 2013
Atau seperti ini, 

Sahabat Selamanya | Taman Tamadun Islam Terengganu | 2014

Pun begitu, kebanyakkan bentuk-bentuk komposisi yang ada ini kebiasaannya (tetapi tidak semestinya) berasaskan (bermula) dengan prinsip komposisi yang paling asas iaitu Undang-undang Tiga (the rules of third). The rules of third (Ro3) adalah satu panduan/asas yang digunakan untuk memulakan segala bentuk komposisi (Sandra, 2007) yang telah saya bincangkan diatas dan sebelum ini. Panduan ini menegaskan bahawa sesuatu visual atau imej itu perlu dibahagikan kepada 9 bahagian yang sama oleh 2 garisan melintang dan 2 garisan menegak, objek-objek atau komponen imej tersebut perlu dikompokan disepanjang garisan tersebut atau pada setiap persimpangannya (Bryan, 2003). Sebagai contoh, 

Terasing | Kuala Ibai Terengganu | 2013


Atau sebegini,

Sayembara Pantai Timur | Pantai Balok Pahang | 2013

Penggunaan Ro3 sangatlah penting untuk foto-foto close up seperti 'birding', 'macro' dan 'potret'. Untuk 'birding' sebagai contoh; 

Nyanyian Kalbu | Olive-backed Sunbird | 2013


Dan untuk macro pula sebagai contoh, 

Dendelion | Merbau Patah | 2013

Dan begitu juga untuk potret,

Datuk Tengku Hassan | PRU 13 | 2013

Pasti ada yang bertanya, wajibkah Undang-undang 3 (Ro3) dan bentuk-bentuk komposisi yang lain itu dipatuhi? Jawapannya tidak. Habis untuk apa kita perlu mempelajari komposisi ini? bukankah fotografi itu satu seni. Dan seni itu pula adalah subjektif, bergantung kepada persepsi masing-masing. Jawapan saya bermain bola juga satu seni, dan ia tetap perlu patuh pada undang-undang bola. Bersilat, tomoi dan sebagainya juga adalah satu seni, namun tetap ia ada peraturannya. Hatta hubungan suami isteri sekalipun adalah satu seni, dan ia tetap terikat pada hukum dan peraturannya. 
Begitu juga dalam seni foto. Tujuan Ro3 dan komposisi-komposisi ini adalah peraturan asas yang perlu difahami, kemudian terpulang pada kepada fotografer pula untuk mengelebrisasikannya mengikut citarasa dan kreativiti masing-masing. Ia adalah panduan untuk fotografer memaksimakan penggunaan ruang 'frame' yang ada. Ia juga bertujuan untuk membantu audien menghayati karya anda dan menguatkan lagi (fokus) cerita yang hendak dibawa.

Menguatkan lagi penghayatan dan (fokus) penceritaan apabila kepelbagaian komposisi ini digabungkan di dalam satu 'frame', sebagai contoh, 

Orang Kampung | Merbau Patah Terengganu | 2013

Gambar diatas di'frame'kan dengan menggabungkan komposisi Ro3, garis lengkung, perspektif dan juga 'framing'. Walaupun gambar ini kelihatan biasa sahaja, tetapi garis panduan komposisi telah memberinya kelebihan untuk menarik perhatian audien menjelajah bermula dari jalan kerikil ke arah si tua yang berbasikal. Dan tumpuan tersebut terus tertumpu di situ 'diperangkap' oleh framing dari dedaunan diatasnya.

Berbanding dengan gambar ini pula,

Saksikan Bahawa Sepi | Pulau Kabu Terengganu | 2013

Meskipun ia kelihatan hebat dengan sunrise sebagai background dan warna yang cukup 'vibrant', namun kelemahan komposisi yang tidak sepenuhnya mengikut Ro3, foreground dengan 'lead in line' yang lemah dan bumbung bot yang 'blending' dengan dirian pokok dibelakang, langsung melemahkan daya tarikan audien dan penceritaan yang hendak dibawa.

Seterusnya pula, katakanlah anda sudah memahami kesemua bentuk komposisi ini dan ingin mencuba sesuatu yang baru, yang menyalahi asasnya (fotografer memanggilnya sebagai break the rules). Anda boleh mencubanya dengan rawak, mengikut selera anda (tapi ingat posting saya yang sebelum ini, bahawa tiada sesuatu pun yang rawak atau tidak 'berasas' di dalam kejadian alam ini). Dan disebabkan itu adalah penting untuk kita terlebih dahulu memahami asas dalam komposisi sebelum 'merawakkannya'. 

Salah satu komposisi rawak yang boleh dikongsikan adalah seperti ini,

Menambat Rakit | Pulau Kabu Terengganu | 2013
Saya namakannya sebagai 'ngarut ngabang'. Meskipun ia kelihatan rawak dan berserabut sesuai dengan namanya 'ngarut ngabang', tetapi ia tetap mengambilkira asas-asas komposisi yang telah dibincangkan sebelum ini. Ia masih masih menjaga foregorund, subjek dan background disamping menjaga penceritaan yang hendak dibawa. Sekian, Wallahualam. Selamat bereksprimentasi.


Rujukan :
1. Sandra Meech (2007). Contemporary Quilts: Design, Surface and Stitch. Sterling Publishing. ISBN 0-7134-8987-1.
 
2. Bryan F. Peterson (2003). Learning to see creatively. Amphoto Press. ISBN 0-8174-4181-6.

Sunday, January 26, 2014

Kenali Komposisi dalam Fotografi

BismiLlah hirRahman nirRahim..

Lanjutan dari entry semalam (Pengaruh Komposisi dalam Fotografi). Hari ini saya ingin berkongsi pula tentang bagaimana menghasilkan komposisi yang menarik. Sebelum itu, tahukah anda apakah komposisi itu?

Komposisi adalah satu seni menyusun-atur objek di dalam sesuatu ruang samada secara tersusun ataupun secara rawak (tetapi tetap tersusun - kerana semua kejadian, jasad dan jirim di alam ini adalah tersusun dan telah ditakdirkan, yakni termaktub di dalam ilmu Allah). Banyak sorotan literature berkenaan komposisi yang boleh anda capai di internet ini dalam pelbagai cabang ilmu termasuk senibina, seni landskap & taman, seni akua, seni lukis dan banyak lagi. Saya tidak bercadang menyentuh dengan lebih lanjut cabang-cabang ilmu tersebut, meskipun diantaranya adalah bidang pengajian saya. Apa yang saya ingin fokuskan disini adalah komposisi dalam fotografi. 

Komposisi dalam fotografi adalah satu seni menarik pancaindera dan minda audien untuk melorot (saya lebih suka perkataan 'menjelajah') ke segenap ruang sesuatu foto yang di'frame'kan. Seni yang membawa mata audien dari depan (foreground) sehinggalah ke belakang (background) gambar; dari kanan ke kiri gambar, dan sebaliknya. 

Di dalam fotografi landskap, kebiasaannya (tetapi tidak semestinya) dikompokan dengan foreground dihadapan, kemudian subjek, dan background dibelakang. Foreground boleh jadi tekstur pasir, rumput, batu, kayu dan sebagainya. Subjek boleh jadi perahu, benda hidup (samada manusia atau haiwan), pokok, selipar, dacing dan sebagainya. Dan background pula boleh jadi langit yang biru dengan burung yang berterbangan, awan yang berarak, mentari jatuh atau terbit dan yang seumpamanya. Dan kadang-kadang foreground itu sendiri menjadi subjeknya, sebagai contoh; 

Hampir PadaMu | Pantai Mengabang Telipot | Terengganu | 2013

Selipar, tekstur pasir dan arus air telah digabungkan menjadi foreground dan subjek, dengan moment langit yang hampir senja sebagai background. Kaedah seperti ini tidak terpakai di dalam genre landskap sahaja bahkan turut digunakan dalam genre 'human interest', sebagai contoh; 

Basuh Baju | Hutan Lipur Bukit Bakar Kelantan | 2013
Susunan batu yang melengkung tersebut telah dijadikan foreground, wanita tua sebagai subjek dan pepohonan di belakangnya dijadikan background.

Komposisi kebiasaannya diatur dengan 'lead in line' berdasarkan garis perspektif (sebagaimana yang sering didapati dalam mana-mana foto landskap) sebagai contoh; 

Ribut | Masjid Kristal | Terengganu | 2013

Juga boleh didapati dalam genre street, seperti;

Kisah Seorang Biduan | LRT Bandar Tasik Selatan | 2013

Pasar Payang | Where The Trade Culture Begins | 2013
Atau boleh juga di dapati di dalam genre potret seperti ini;

Qersani | Rumah Tradisional Terengganu | 2013
Atau sebarang genre 'human interest' yang lain, 

Syamilia | Putrajaya | 2013

Sekalipun di dalam fotografi perkahwinan,

Bunian | Enterframe | Azri & Sue | 2013

Selain garis perspektif, garis lengkuk (curve) samada berbentuk 'C', 'S', dan 'Z' juga popular dalam 'lead in line'. Sekadar berkongsi beberapa contoh, di dalam landskap umpamanya; 

Allah Maha Besar | Masjid Besi Putrajaya | 2013

Di dalam 'human interest' pula umpamanya; 

Tuhan Memanggil Aku | Kg Melintang Terengganu | 2013

Selain itu, 'lead in line' berbentuk 'stepping stone' juga menarik untuk diimplementasikan dalam komposisi fotografi, dimana objek-objek yang ada dikompokan secara bersusunan seperti 'batu pemijak' untuk bergerak dari mula sampai ke destinasi. Sebagai contoh; 

Raya Yang Jo'ong | Kemasik Terengganu | 2013

Atau;

Pasrah | Kuala Ibai Terengganu | 2012

Atau;

Muslim Brotherhood | Kuala Ibai Terengganu | 2013

Atau boleh juga dikompo untuk 'human interest' seperti ini,

Iqra | Rumah Tradisional Terengganu | 2014

Atau candid / street seperti ini,

Aku Punya Kamu | Maulidur Rasul Terengganu | 2014

Juga digunapakai dalam genre makro seperti ini,

Kupu-kupu Cinta | Merbau Patah Terengganu | 2013

Ok. Cukup setakat ini dahulu untuk hari ini. InsyaAllah akan datang saya akan cuba menyambung dengan komposisi yang seterusnya iaitu titik fokus, framing, rule of third dan 'ngarut ngabang'. Wallahualam. Selamat bereksprimentasi.

Saturday, January 25, 2014

Pengaruh Komposisi dalam Fotografi

Assalamualaikum wbt..
Baru-baru ini saya diajukan persoalan, "Di dalam sesuatu foto, komponen apa yang lebih kuat pengaruhnya dalam memberi nilai keindahan sesuatu gambar? Apakah dedahannya (exposure), atau detik waktu (moment) foto itu diambil atau komposisi foto tersebut?"

Pendapat peribadi saya, dalam apa jua keadaan pun, saya lebih suka meletakkan komposisi sebagai komponen yang paling atas. Ini kerana pada pendapat saya, kalau nak dinilaikan pada komponen dedahan, ada fotographer yg lebih suka 'shoot' dengan terlebih dedahan (over-expose), ada yang suka terkurang dedahan (under-expose) dan sedikit sangat yang suka pada dedahan normal. Sebagai contoh, fotografer yang meminati genre landskap 'black & white' lebih suka shoot dengan over-exposure untuk mendapatkan kontras yang baik antara subjek dan latar belakang (background).


Manakala bagi peminat genre potret atau 'human interest' pula, kebanyakan mereka lebih suka shoot under-exposure untuk memberi mood kepada gambar.


Pun begitu, dalam kedua-dua keadaan ini, dedahan tersebut (samada over-expose atau under-expose) masih lagi boleh dibaiki mengikut selera masing-masing meskipun selepas sesuatu gambar itu diambil menerusi pelbagai software yang ada. Tetapi tidak pada komposisi. Kerana sekiranya seorang fotografer tersalah kompo dilapangan, maka gambar yang diambil tidak lagi boleh dikompo semula di dalam komputer (melainkan menggunakan kaedah manipulasi). Gambar dibawah sebagai contoh,


Jika sekiranya ia dikompo dengan terlebih ke kiri, maka ia telah mengurangkan kekuatan subjek bahkan memotong pula bahagian pokok kelapa tersebut. Jika ia dikompo dengan terlebih ke kanan, maka ia mengurangkan pula ruang pandang subjek dan 'merosak' pula cerita dengan kantoinya perahu yang berada diatas tanah! Dan jika pula ia diambil pada aras yang rendah, ia akan menyebabkan subjek tersebut 'berserabut' (blending) dengan bayang-bayang pokok. Jadi kesilapan yang kecil sahaja dalam mengkomposisi gambar seperti ini langsung boleh menyebabkan gambar ini dibuang begitu saja meskipun dalam 'moment' awan berarak yang cantik seperti itu.

Dan jika pula hendak dibandingkan antara komposisi dengan moment dan penceritaan. Saya mengatakan, apalah gunanya kalu moment yang cantik kiranya diambil dalam keadaan yang tergesa-gesa, dengan susun atur gambar yang tidak menarik. Sedang komposisi yang bagus itulah menghasilkan moment dan penceritaan yang menarik. Sebagai contoh,


Dalam moment mentari 'telur' dengan bot laju yang melintasi seperti ini, katakanlah jika ia diambil dengan gopoh, sehingga menyebabkan bot laju tersebut berada disipi frame atau berada selari dengan bot penambang; atau ia dikompo terlewat sedikit menyebabkan bot laju tersebut ter'blending' dengan kapal kelaut disebelahnya, maka foto ini tidak lagi menarik untuk dilihat, meskipun berlatar belakangkan moment yang indah dan berceritakan bot laju yang deras! Wallahualam, selamat bereksprimentasi.