Monday, August 14, 2017

FOTOGRAFI PELANCONGAN

Saya ingin kongsikan sedikit perbahasan dikalangan fotografer mengenai fotografi pelancongan. Perbahasannya luas. Saya skopkan untuk kali ini khusus mengenai foto makanan/perusahaan/industri makanan atau keperluan harian sahaja. Diantara teori isunya adalah;

1) Foto perlu menonjolkan pemakaian/keadaan/persekitaran dan suasana asal subjek dan lokasi penggambaran. Hujjah teori ini kerana menjaga "sejarah dan warisan".

2) Foto perlu menonjolkan subjek dan lokasi asal penggambaran, namun perlu melakukan sedikit penambahbaikan dari sudut pemakaian, kebersihan, kekemasan bahkan mungkin memasukkan unsur imej komersial.

Dipihak saya secara peribadi, saya menyokong teori no. (2). Hujjah saya adalah;
a) Foto peloncongan adalah berkait rapat dengan identiti, promosi dan persepsi. Dengan itu, foto tersebut perlu menonjolkan imej/personaliti/keadaan/suasana dan persekitaran yang baik, bersih, hygiene dan kemas. Foto tersebut juga perlu bernilai komersil; atau setidak-tidaknya dilihat komersil. Yang boleh dijadikan poster, billboard dan iklan-iklan pelancongan. Barulah ia mencetuskan identiti, promosi dan persepsi yang baik mengenai pelancongan kita. Kita tidak mahu foto yang memaparkan persekitaran/suasana yang tidak elok seperti industri penyediaan makanan yang tidak bersih, tidak memakai sarung tangan, tidak memakai penutup kepala dan sebagainya dijadikan iklan pelancongan kita. Keadaan itu akan memberi imej dan persepsi yang buruk masyarakat awam dan antarabangsa mengenai industri pelancongan kita.

b) Oleh yang demikian, sebagai fotografer kita bukan saja perlu bijak mengambil gambar, bahkan kita perlu bijak mengkomersilkan gambar. Kita secara profesional perlu menerangkan kepada subjek tentang konsep gambar bernilai komersil yang hendak kita hasilkan. Kalau perlu sediakan sarung tangan/apron/penutup kepala ~ kita sediakan. Kita bukan saja mengambil gambar untuk tujuan pelancongan, kita juga perlu mendidik penggerak industri/perusahaan disekeliling kita ke arah pelacongan. Secara tidak langsung kitalah duta pelancongan!