Tuesday, November 17, 2015

DIY | Play Doh

Seminggu dua yang lepas anak kami Zakwan selalu merenget nak suruh kami beli play doh. Saya tidak tahu berapa harga sebekas Play Doh dan saya tidak berminat untuk membelinya. Kerana bagi kami Zakwan dan adik dia, Zahraa' telah mempunyai banyak mainan, bahkan kami telah menyediakan satu bilik khas untuk mereka di kediaman kami untuk menyimpan ke semua mainan mereka. Tapi dengan mainan yang sedia ada itu pun tidak sempat mereka usik kesemuanya, apatah lagi membeli mainan yang baru. Dan saya tidak mahu membazir untuk itu.

Namun atas keprihatinan isteri yang tidak mahu mengecewakan Zakwan, dia mencari ikhtiar untuk mendapatkan Play Doh tanpa perlu membelinya. Melalui rujukan google kami menemui cara membuat Play Doh. Di sini saya kongsikan caranya. Ayuh ajak anak-anak anda bersama-sama membuatnya, agar mereka lebih menghargai mainan mereka.

1. Sediakan tepung gandum, minyak masak, garam halus, pewarna makanan, sedikit air dan bekas (untuk adunan)
2. Masukkan sedikit air dan warna dalam setiap bekas. Kami memilih warna 2 warna prima seperti biru dan kuning. Dari campuran biru dan kuning itu akan menghasilkan warna hijau. Campuran hijau dan kuning pula menghasilkan warna hijau pucuk. Dan hijau dicampur biru pula menghasilkan warna cyan. Tapi semuanya opacity warna itu bergantung kepada sukatan warna yang dicampurkan. 
3. Masukkan satu sudu minyak masak dalam setiap bekas adunan

4. Adunkan 5 cawan gandum dengan 2 cawan garam. Kemudian kacau.
 5. Masukkan adunan tersebut ke dalam setiap bekas.

6. Kemudian kacau dan uli adunan tersebut. Sekiranya terlalu keras atau kering, tambahkan sedikit air.

7. Maka siaplah home made Play Doh. Tiada toksik dan selamat untuk seisi keluarga :)

 
8. Ini pula hasil seni Play Doh antara Zakwan dengan ummi dia :)

Friday, October 30, 2015

White Dendrobium | Cara menghias Orkid

Sebagaimana yang saya janjikan sebelum ini, hari ini saya akan tunjukkan cara bagaimana ingin menghias tumbuhan segar untuk dibawa masuk ke dalam rumah sebagai satu bahan dekorasi kediaman. Kita mulakan dengan pokok orkid dahulu. Hari ini saya akan gunakan orkid mini dari family Dendrobium.

1. Sediakan orkid; balang kaca; batu kerikil besar (kalau ada kayu chipping lagi bagus); dan batu kerikil kecil yang berlainan warna (seeloknya wana terang dan warna gelap). Pastikan batu-batu tersebut dibersihkan terlebih dahulu.

2. Masukkan batu kerikil besar ke dalam balang kaca. Batu ini bertujuan untuk menyediakan rongga udara di dalam balang kaca, agar akar orkid boleh bernafas. Sekiranya anda menyiram, pastikan air siraman tersebut tidak melebihi paras batu kerikil ini.

3. Kemudian masukkan pokok orkid, dan letak seimbang diatas batu kerikil dan diantara bibir balang kaca. Pastikan 2-4 akar pernafasannya dibiar keluar dari balang kaca.

4. masukkan pula batu kerikil kecil berwarna hitam. Letak disekeliling orkid.

5. Masukkan pula batu kerikil bewarna cerah diatas batu kerikil berwarna hitam tadi. Letak sehingga mencecah bibir balang; tetapi jangan ditindih akar dan medium orkid tersebut. Tambahkan sedikit lumut jika perlu.

6. Siap. Boleh dibawa masuk ke dalam kediaman. Mini orkid ini sesuai diletak diatas meja makan, meja kopi, di dapur dan di dalam tandas dimana ada sumber cahaya. Ia memerlukan kelembapan yang tinggi. Sesuai di ruang yang berhawa dingin. Siram sekadarnya dengan memastikan lumut dan akarnya sentiasa lembap. Sekiranya anda meninggalkan kediaman dalam tempoh yang lama, anda boleh menyiramnya sehingga paras air mencecah batu kerikil besar yg paling atas. Ia tidak memerlukan baja ketika sedang berbunga. Selepas kesemua bunganya gugur bolehlah disembur baja antara 2-3 kali seminggu.

Sekian perkongsian saya hari ini. Selamat mencuba :) 
Sekiranya berminat untuk mendapatkan orkid yang siap dihias, anda boleh whatsapp saya di 0176559773. 



~ Penulis merupakan Sarjana Sains Pengurusan Taman & Rekreasi.

Wednesday, October 14, 2015

Dorongan TERDESAK | Produk Kecantikan & Kosmetik

Saya percaya ramai dikalangan saudara/ri yang sukar mempercayai produk kesihatan lebih-lebih lagi produk kosmetik. Saudara/ri pasti melihat kempen dan promosi produk-produk tersebut dengan cara yang ‘melampau-lampau’dan tanpa pembuktian saintifik dengan perasaan memualkan. Itu belum lagi dikira penyalahgunaan/manipulasi wanita-wanita cantik dan seksi yang digunakan sebagai ‘cover’ produk dan bahan kempen. Lebih malang adakalanya wanita-wanita tersebut dimanipulasikan untuk  melariskan ‘ubat kuat’, ‘ubat ketat’ dan bermacam tagline lagi yang malu untuk saya menyebutnya di sini. Lebih  memalukan ada syarikat yang menggunakan cara seperti ini untuk menjual dan melariskan produk yang dikatakan ‘makanan sunnah’! Pelik; makanan sunnah tapi cover produk dan flyers memaparkan wanita cantik yang tidak bertudung. Seolah-olahnya sunnah itu hanya terletak pada makanan dan tidak pada pakaian dan seluruh kehidupan. 

Tapi percayalah. Produk-produk seperti ini memang mendapat tempat dihati pengguna, biar semahal mana pun harganya, biar sesulit mana pun ekonomi pengguna tersebut. Sebab?

Sebabnya pengguna didorong oleh perasaan TERDESAK. Ya terdesak. Seseorang yang sedang menghidapi penyakit dan tidak sabar diatas penyakitnya itu akan melakukan apa saja untuk sembuh seperti sedia kala. Bahkan mereka sanggup pusing dunia mencari bomoh yang paling hebat pun. Anda tidak percaya? Ya, sebab anda belum merasai penyakit kencing manis, gout, sakit jantung, sakit tulang, resdung , gastrik/ulser dan lemah tenaga batin. Bila anda merasainya, anda akan tahu betapa sakit dan terdesaknya orang yang mengalaminya.

Menyentuh tentang lemah tenaga batin, ia banyak berlaku pada kaum lelaki. Ya, kaum lelakilah yang tergilakan ubat kuat, minyak lintah, gambir serawak, tongkat ali dan sebagainya. Kaum lelakilah yang ramai tertipu dengan ubat-ubat kuat seperti ini, yang sebenar kandungannya adalah dadah. Entah kepuasan dan ‘saiz’ yang bagaimana lagi yang mereka harapkan, saya pun tidak pasti. Sedangkan Allah telah menetapkan sesuatu pada kadaran yang sesuai dengan kemampuan dan fitrah seseorang.

Foto dari http://www.nutragreenbio.com/


Kaum wanita pula terdesak untuk kelihatan cantik. Yang jerawat, tak nak jerawat; yang jeragat, tak nak jeragat; yang buncit, taknak buncit; yang gelap, nak cerah, yang kerinting, nak lurus. Eloklah keinginan untuk kelihatan cantik tu, tapi masalahnya di rumah dan di depan suami mereka tidak bercantik pun. J

Sunday, October 11, 2015

Pulau Kerengga Terengganu

Kalau kelmarin saya kongsikan keindahan dan keunikan Pulau Sekati, hari ini saya ingin kongsikan pula keindahan Pulau Kerengganu, Marang. Saya pun sudah lama tidak menjejak kaki ke sini. Kali terakhir saya datang pada tahun lepas. 

Pemandangan di sini cukup indah dan mendamaikan. Ia menjadi lubuk kepada 'landscape photographer' dan sudah semestinya lubuk kepada pemancing dan penjala ikan. Berikut saya kongsikan beberapa keping gambar landskap yang saya rakamkan di sini. 








Dan ada diantaranya saya oleh dengan permainan warna



Dan juga dalam tona hitam putih.


Pulau Sekati Terengganu


Sesiapa yang berkunjung ke Muzium Losong, Terengganu pasti akan terpandang akan jambatan kayu bewarna putih yang merentang sampai ke sebuah pulau. Sewaktu kecil-kecil dahulu, saya pun tertanya-tanya, pulau apakah yang 'misteri' dan terpencil itu? Saya tidak pernah mendekati jambatan itu, jauh sekali menyeberang sampai ke pulau tersebut. Saya hanya sampai ke jambatan itu sewaktu sesi 'outdoor' fotografi perkahwinan saya pada tahun 2009. Itu pun hanya sampai disekitar jambatan itu saja, tidak sampai ke pulau sana.




Pulau itu dinamakan Pulau Sekati. Dahulu jambatan inilah satu-satunya yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar. Selain basikal dan motosikal, semua kenderaan tidak boleh menyeberang ke pulau tersebut. Hari ini saya tidak pasti bagaimanakah keadaan jambatan, jeti kecil dan Pulau Sekati. Sudah lama saya tidak ke sini, selepas gambar sunset diatas dirakamkan. Dengar kata sedang dibangunkan sebuah jambatan konkrit di sini yang berhubung terus dengan lebuh raya, setakat mana progresnya saya tidak pasti. Namun bagi saya, jambatan ini, jeti dan Pulau Sekati itu sendiri cukup nostalgik dan mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. 

OUTDOOR PERKAHWINAN | Satu kreativiti


Sejak sekian lama kita membudayakan sesi 'outdoor' dalam foto perkahwinan, tetapi masih ramai pengantin yang rigid dan tidak berani mempelbagaikan kreativiti di dalamnya. Bagi sesetengah pasangan pengantin, foto perkahwinan mestilah memakai kostum perkahwinan; kena ada gaun labuh, tuxedo, baju melayu, baju songket dan sebagainya. Sedar atau tidak, menempah dan menyewa kostum-kostum tersebut boleh mencecah harga ribuan ringgit bahkan lebih mahal dari pakej fotografi perkahwinan itu sendiri.


Tidak salah mengenakan kostum perkahwinan di dalam sesi 'outdoor'. Sekiranya kita mempunyai 5-10 pasang persalinan, mengenakan kesemuanya dalam setiap sesi foto adalah anjuran yang terbaik. Tetapi sekiranya kita tidak memiliki banyak persalinan, dan kita tidak berminat untuk menghabiskan wang untuk persalinan-persalinan tersebut, menggunakan pakaian yang sedia ada dalam 'wardrobe' kita sendiri adalah opsyen yang terbaik. Sekiranya kita adalah seorang tentera, kita boleh gunakan seragam tentera sebagai persalinan kita; lokasi fotonya di hutan belantara atau diatas kapal perang :) . Sekiranya kita adalah doktor, kita boleh gunakan kot doktor, atau pakaian bedah; lokasi fotonya pula mungkin di hospital atau di dewan bedah :). Dan begitulah seterusnya mengikut profesyen masing-masing. 

Bosan dengan pakaian sama, diwaktu kerja dan sesi outdoor, kita boleh bermain konsep dengan berlakon menjadi profesyen yang lain seperti budak sekolah, nelayan, petani, orang kampung dan sebagainya. Kostum-kostum untuk kesemua profesyen tersebut pasti sudah tersedia di dalam alamari kita atau almari saudara mara kita. Tidak perlu menghabiskan duit untuk menempah atau menyewanya. Tidak mahu berprofesyen, kita boleh menjadi orang biasa-biasa saja. Cukup sekadar memakai t-shirt, kemeja atau pakaian harian kita. 


Opsyen-opsyen yang dinyatakan diatas menjadikan sesi fotografi itu berjalan dengan lebih santai, tidak tergopoh gapah dengan persalinan dan solekan yang tebal. Ia juga menghasilkan seni foto 'natural' yang lain dari yang lain. Dan yang paling penting ia boleh menjimatkan poket pasangan pengantin. :)

Friday, October 9, 2015

IHSAN | Potensi Diri


Suatu ketika dahulu saya pernah mengendalikan program motivasi pelajar samada dibawah NGO mahupun syarikat. Namun lewat ini baru saya menyedari bahawa metod yang saya pakai dalam motivasi itu adalah ‘tidak tepat’. Dan saya percaya ramai motivator dan akademi perunding diluar sana menggunakan kaedah yang sama. Asas pembangunan potensi diri manusia dari roh itu betul. Diselaras pula dengan aqal dan emosi dan seterusnya kepada fizikal itu juga betul. Tapi metodnya salah.

Kita sering melihat pakar motivasi meminta peserta menjerit, “saya boleh!”, “saya boleh!”, “saya boleh berubah!”. Pada pengamatan saya kaedah seperti itu sedikit pun tidak mencetuskan apa-apa potensi dari roh atau hati manusia. Bahkan terbalik, ia mencetuskan sifat ke’aku’an  yang menebal dalam diri manusia, membuatkan manusia semakin jauh dari Tuhan. Cetusan potensi seperti ini hanya berlegar pada peringkat emosi.

Kaedah lain pula, peserta dihidangkan dengan visual penciptaan alam semesta, untuk menggambarkan betapa kerdilnya manusia. Seringkali juga peserta disuruh untuk memejamkan mata, lalu mereka disuruh menghayati ucapan motivator yang penuh dengan kesedihan dan tangisan berlatarkan siulan serunai dan petikan piano kitaro. Aduh sedih. Siapa pun pasti insaf dan menangis. Adakah ia sampai kepada roh/hati sanubari manusia? Belum tentu; adakalanya ia hanya berlegar-legar diminda dan khayalan peserta sahaja.

Peserta juga diasuh membina keyakinan diri dengan membuang sifat malu; berdiri dan duduk dengan tegap (yakin); selalu kehadapan; bercakap dengan yakin; dsb. Tujuan ini betul. Tapi pendekatan yang digunakan salah. Kita hanya membina keyakinan kendiri – yakin pada diri sendiri. Tapi diri kita itu siapa? Sebab itu ramai orang yang yakin diri, tetapi tidak sedar diri.

Permainan khayalan & aqal dan amalan ‘yakin pada diri sendiri’ seperti inilah yang menebalkan sifat ke’aku’an manusia. Dan sifat ke’aku’an inilah yang menjadi tembok pemisah diantara manusia dengan Tuhan. Bentuk motivasi diri seperti inilah melahirkan ramai manusia (yang dikatakan) hebat tetapi sombong (dengan sifat ke’aku’an). Aku itu; aku ini; kalau bukan aku yang…; kalau aku tidak tolong…; dan ber’aku’-aku lagi. Ada yang bijak merasa dirinya hebat. Ada yang menjadi  professional merasa pandangannyalah yang paling tepat. Ada yang menjadi agamawan langsung tiada boleh berbeza pendapat.

Maafkan saya. Lewat ini baru saya menyedari bahawa potensi diri manusia yang sebenar adalah bilamana manusia itu melepaskan ke’aku’an dirinya. Menjadi hamba sehamba-hambanya. Bahawa dia tidak berkongsi apa-apa dengan Pencipta. Bahawa dirinya, seluruh kehidupannya dan segala gerak diamnya tidak pernah terpisah dengan Tuhannya barang sesaat! Sedar diri; ‘merasa’ kebersertaan Pencipta dalam setiap perjalanan hidupnya; di dalam solat, di dalam ibadat, di dalam jaga, di dalam tidur, ketika makan, ketika memandu, ketika mandi, ketika memasak, ketika bercakap, ketika belajar, membaca, menulis dan pada setiap ketika. Rasa kesedaran inilah yang menghidupkan roh. Di sinilah punca potensi diri yang sebenar. Bilamana seorang hamba itu tidak lagi bergantung pada dirinya, dan pada sesiapa sahaja selain Allah. Tiada yang lain – Hanya Allah. Inilah yang dinamakan IHSAN.

Kepada mereka yang diluar sana yang pernah menyertai kursus motivasi yang pernah dikendalikan oleh saya atau saya sebahagian dari tenaga pembimbingnya, maafkan saya. Ketahuilah oleh kalian bahawa saya silap dan pendekatan yang saya gunakan itu ‘tidak tepat.’  Semoga Allah mengampuni  dan memelihara saya dan kalian semua.


Wednesday, September 30, 2015

Dracaena sanderiana

Maafkan saya. Sejujurnya saya menyedari bahawa ramai orang memandang enteng dan selalu mengabaikan tatahias di dalam tandas. Bagi mereka tandas hanyalah sekadar 'tandas', kenapa harus dihias-hias? Namun pada sisi yang lain, ada pula sebahagian orang menyatakan; sekiranya ingin melihat kebersihan sesebuah rumah atau restoren, maka lihatlah tandasnya.

Saya setuju dengan pandangan yang kedua. Bagi saya tandas boleh dijadikan indikator tahap kebersihan dan ketelitian kita dalam urusan seharian. Seseorang yang mengambil berat perkara  yang seremeh tandas pastilah akan mengambil berat perkara lain yang lebih rumit. Lagi pula tandas merupakan tempat bersarangnya jin dan syaitan. Sekiranya semakin tidak terurus tandas kita, maka berpestalah jin dan syaitan di dalamnya. Justeru itu Nabi SAW mengajar umatnya supaya berdoa minta dijauhkan jin dan syaitan sebelum memasuki dan sebaik keluar dari tandas.

Selain kebersihan, cara lain yang boleh dilakukan untuk memperelokkan persekitaran tandas adalah dengan meletakkan tumbuhan berpasu di dalamnya. Salah satu tumbuhan yang sesuai dijadikan hiasan di dalam tandas adalah Dracaena sanderiana atau lebih dikenali sebagai 'Lucky Bamboo' atau 'Chinese Water Bamboo' dan beberapa nama lagi. Penggunaan tumbuhan ini lebih berkonsepkan 'Indoor Zen' kerana ciri-cirinya yang minimal dan 'simple'. Tumbuhan ini saya sarankan kerana ia mudah diurus, tidak memerlukan cahaya secara langsung, tidak memerlukan pembajaan yang kerap/banyak dan boleh ditanam samada di dalam tanah mahupun di dalam air. 


Untuk posting kali ini saya kongsikan bagaimana Dracaena sanderiana disusun di dalam pasu kaca yang mengandungi air. 

1. Susun Dracaena sanderiana dengan mengambilkira komposisi yang tinggi diletakkan ditengah dan yang lebih rendah ditepi. Pastikan ada jarak diantara satu pokok dengan pokok yang lain untuk memberi ruang tumbesaran dan kemandirian.
2. Letakkan batu 'chipping' diantara ruang-ruang yang ada di dalam pasu. Ia boleh disusun dengan berlapis-lapis dengan batu yang pelbagai warna. (Batu ini boleh diperolehi di kedai-kedai hardware yang menjual 'pebble wash'). Anda boleh berjimat sekiranya menggunakan pasir garam atau cengkerang-cengkerang kecil yang boleh dijumpai ditepi pantai. PERINGATAN ~ pastikan pasir garam atau cengkerang itu dibersihkan terlebih dahulu bagi menghilangkan garam yang terdapat padanya, kerana pokok ini alah dengan garam. 
3. Masukkan air sehingga menenggelami sekitar 2 inci akar pokok tersebut. Sebolehnya gunakan air telaga, boreng atau air sungai, kerana pokok ini alah dengan klorin dan florida yang terdapat di dalam air paip.
4. Letakkan diatas rak cermin muka atau sinki. Ambil gambar, dan kongsikan hasil kerja anda :)

Gambar-gambar dibawah ini ilham dari google.




Tuesday, September 22, 2015

Fajar Keguguran

Outing bersama saudara Mahadi DC | 2012

Menceritakan pengalaman hingusan saya dalam seni fotografi. Saya bermula dengan genre 'human interest'. Guru tidak formal saya pada ketika itu adalah saudara Zafir Zamani. Kemudian saya merasakan bahawa genre 'human interest' tidak kena dengan jiwa saya. Kemudian saya bertukar ke genre 'sport'. Ambil beberapa keping gambar orang lumba motor; saya merasakan ia juga bukan jiwa saya. Saya beralih pula ke genre 'landscape'. Guru saya secara tidak formal pada masa itu adalah Allahyarham Zul Husain. Saya mengikut arwah ke outing fotoskool di tasik Kenyir. Di tasik Kenyir saya bertemu pula dengan geng-geng 'memburung' dari group Birds Nature & Us seperti Tuan Muhammad Alzahri dan Tuan Zaidy Ksx. Di'racun' oleh mereka, saya bertukar minat kepada genre 'birding & wildlife' ~ kebetulan saya menghabiskan 2 semester masa undergraduate saya dahulu dalam kursus hidupan liar, dan saya minat dengan hidupan liar. Namun kekangan gajet dan bajet menghalang minat saya untuk terus bereksplorasi dalam genre ini. Kemudian saya kembali fokus kepada genre 'landscape'. Memanglah gajet-gajet genre 'landscape' boleh tahan mahalnya; tetapi tidaklah semahal genre 'birding'. 


Di awal penglibatan dalam genre 'landscape' saya berkenalan dengan ramai rakan-rakan yang sudah boleh dikira otai pada masa itu seperti saudara Mahadi DC, Misteri Prime, Noibrizi Mohd, Syam yatini, abah Jain Mahmud, Eddy Fendy,  Olivia Ali, Kamrul Arifin, Muhammad Khasif, Zakri zim dan ramai lagi. Kala itu saya merasakan bidang fotografi ini adalah rahmat dalam menjalinkan persaudaraan. Sekali outing semua kaki foto turun tidak kira background apa pun, parti politik apa pun, ~ matlamatnya: mengambil gambar :) 

Tahun demi tahun berlalu, ramai rakan-rakan sudah meninggalkan bidang fotografi, dan ada yang sudah meninggal dunia pun (alfatihah). Tetapi fotografi masih disitu. Peminatnya semakin ramai. Rakan-rakan baru dalam genre yang sama mahupun genre yang berlainan semakin bertambah. Dari perkongsian ilmu, pengalaman dan persaudaraan, saya merasakan bahawa seorang fotografer yang bagus tidak boleh 'taksub' dalam genre yang sama saja. Dia perlu sesekali keluar dari genre itu untuk mencuba genre yang lain ~ kalaupun tidak pakar dalam genre yang lain, cukuplah utuk tahu dan mampu menghasilkan karya yang baik dalam genre yang lain. Kalau dalam bahasa akademik kami panggil sebagai 'multidisciplinary'. Dan diatas dasar itu saya masih lagi belajar, mencari dan mencuba untuk menggabungkan elemen-elemen 'human', 'landscape', 'nature' dan sebagainya dalam satu-satu karya. Dinamika komposisi seperti ini boleh memberi kekuatan dan kelainan dalam karya-karya fotografi, mendepani kepelbagaian permintaan dalam seni fotografi. 

Saturday, September 19, 2015

Dendrobium papilio

Ramai orang kata bahawa menanam pokok di dalam rumah tidak elok untuk kesihatan. Alasannya kerana kita akan berkongsi udara dengan pokok tersebut. Sebenarnya fahaman seperti itu tidak tepat kerana manusia dan tumbuhan menggunakan jenis udara yang berlainan, masing-masing iaitu oksigen dan karbon dioksida. Satu kombinasi perkongsian yang baik apabila manusia menyedut gas oksigen yang dikeluarkan oleh tumbuhan, manakala tumbuhan pula menyedut gas karbon dioksida yang dikeluarkan oleh manusia. 

Namun yang menjadi perdebatan adalah proses respirasi tumbuhan yang turut menggunakan gas oksigen. Adalah perlu difahami bahawa jumlah gas oksigen yang digunakan tumbuhan dalam proses respirasinya tidaklah sebanyak jumlah oksigen yang disedut oleh manusia. Dan menanam dua hingga lima tumbuhan di dalam rumah tidak akan menjadikan kita kehabisan oksigen dan sesak nafas :)

Sebagai pengamal seni landskap dan hiasan saya lebih suka mengesyorkan klien menggunakan tumbuhan hidup sebagai hiasan dalam berbanding tumbuhan tiruan/plastik. Ini kerana tumbuhan plastik ini adalah pengumpul debu dalam kediaman, dan debu itu amat tidak elok untuk kesihatan. Sementara tumbuhan semulajadi pula adalah pemerangkap debu. Sebagai contoh pokok udara (air plant) menggunakan debu-debu yang terperangkap pada struktur anggotanya sebagai nutrien kemandiriannya. Manakala tumbuhan yang mempunyai akar udara seperti orkid pula menggunakan akarnya untuk bernafas; dan debu-debu yang terperangkap pada daun/bunganya boleh disembur air, kemudian jatuh ke akar; kemudian digunakan akar sebagai nutrien. Secara tidak langsung ia bertindak sebagai 'air purifier' semulajadi (dan tidak pula menggunakan tenaga elektrik) untuk kediaman anda. Menarik bukan :)

Posting akan datang saya akan kongsikan pula bagaimana tumbuhan boleh dihias dengan menarik untuk dibawa masuk ke dalam rumah.

Iqra : Foto Perkahwinan Islam


Saya memperkenalkan konsep Ilmu, Islami & Alami dlm seni fotografi perkahwinan. Dan saya sanggup berendam dlm air, meniarap dlm sawah dan melakukan apa saja utk menghasilkan foto yg (insyaAllah) bermutu. Sesiapa yg berminat utk mencuba hasil seni foto perkahwinan saya bolehlah pm saya atau layari sendiri ke pakej saya di http://ummi-zikry.blogspot.my/…/label/Photography%20Packages .Untuk tempahan bulan Sept, Oct, Nov dan Dec masih available.

Mengoptimakan Ruang Kediaman



Seorg sahabat meminta saya review plan kediaman beliau. Berikut saya kongsikan reviewnya:
~Tradisi org Melayu memang sukakan privacy, terutamanya melibatkan keluarga dan kediaman. Namun dek desakan harga tanah/rumah yang melambung2 sekarang ini privacy seperti itu sukar utk dilaksanakan. 



1. Solusinya bagi saya tidak salah rasanya kita terapkan style 'modern condo' dlm rekabentuk banglo setingkat sebegini. 
2. Ia memberi 'tampakan' ruang yg lebih luas meskipun diatas ruang binaan yg terhad. Ia juga memperbaiki aeration & pencahayaan yg lebih baik utk kediaman (Feng sui kate ade ongg ma 
smile emoticon
 ). 
3. Persoalan privacy; saya sendiri kalau ade tetamu dtg ke rumah, saya akan berborak2 dgn mereka terlebih dahulu diluar rumah, bagi memberi masa kpd isteri utk bersiap2 (bersalin baju/pakai tudung dsb.)
4. Pemisahan ruang tamu dan ruang keluarga juga kurang sesuai dlm usaha kita mengeratkan hubungan kekeluargaan diantara tetamu dan anak2. Adalah tidak elok jika sanak saudara dtg dan berbual dgn kita diruang tamu, tapi anak2 kita menonton tv atau memencil diruang keluarga. Saya sendiri lebih suka anak2 saya berborak dgn saudara-mara/rakan-rakan dan bermain-main dgn anak2 mereka. Tiada istilah 'menyibuk cakap org tua' bagi saya.

Tuesday, September 15, 2015

Telur Cendawan Seafood


Kelmarin mak sedara kami dari Johor datang ke rumah. Kami pun masak Ikan Tomyam Halia seperti menu sebelum ini; buat sup sayur; dan tambah satu lagi resipi baru ~ Telur Cendawan Seafood.
Begini resipinya :

1. Masak crab stick, prawn stick, fish ball/fish cake dan sosej tanpa menggunakan minyak dengan api yang sederhana. Ketepikan.
2. Sementara itu pecahkan 3 biji telur di dalam bekas. Masukkan 1 biji cili merah yang telah dihiris dan dibuang bijinya. Masukkan 1 labu bawang besar + 1 biji lada benggala + 5 biji cendawan butang yang dipotong dadu. Kemudian masukkan 1 pokok daun sup (atau boleh diganti dengan daun kemunggar) yg dicincang dan sedikit serbuk lada hitam. Kacau sehingga sekata semua bahan-bahan tersebut.
3. Panaskan kuali dengan api yang sederhana kecil. Tuangkan telur. Kemudian taburkan crab stick, prawn stick, fish ball dan sosej yang telah dimasak tadi diatasnya. Pastikan permukaan bawah bahan-bahan tersebut tenggelam di dalam telur agar ia tidak tertanggal.
4. Tidak perlu terbalikkan telur tersebut. Cuma kawal api dan gerakkan kuali ke kiri, ke kanan, ke depan dan ke belakang agar pemanasannya sekata. Ulang cara ini sehingga keseluruhan telur tersebut kering. Hidangkan.

Tuesday, September 8, 2015

Set Meja Serbaguna DIY


Ok haritu meja saja (rujuk posting Meja DIY). Harini dah siap sekali dgn bangku dia. Boleh letak dlm taman (make sure cat atau varnish terlebih dulu), atau boleh juga letak kat balkoni, buat santai2 minum kopi. Kalu beli kat ikea ni mapuh rm300-400 jugak ni. Ciri-ciri yg ada:
1. Simple & ringan; mudah dialih kemana saja.
2. Sesuai utk kawasan yg sempit.
3. Kerusi boleh sorong ke bawah meja (jimat ruang).
4. Yang pastinya jimat & murah

Monday, September 7, 2015

Ikan Kerapu Tomyam Halia


1. Seperti biasa siang dan basuh ikan dengan garam kasar dan perahan limau nipis. Kemudian jirus dengan air lalu.
2. Kelar ikan-ikan tersebut dan letakkan di dalam pemanggang ajaib yang telah dilapik dgn aluminium foil; pastikan saiz aluminium foil itu boleh membalut ikan tersebut nanti.
3. Pecah dan larutkan kiub tomyam bersama sedikit air; kemudian sapukan keseluruhan badan ikan.
4. Hiris 3 ulas bawang putih + 1/2 bawang besar + 1 inci halia + 2 batang serai + 3 helai daun limau purut (dibuang uratnya) + 2 biji cili padi (diketuk). Taburkan kesemuanya diatas ikan.
5. Bancuh 100ml air bersama 1 sudu sos tiram + 1 sudu kicap manis + 1 biji limau nipis/2 biji limau kasturi/sebelah lemon + 1 sudu gula + sedikit garam. Kacau sehingga gula dan garam larut. Kemudian curahkan diatas ikan.
6. Tutup aluminium foil membaluti ikan. Tutup pemanggang dan masak dengan api sederhana selama 10 minit (atau sehingga naik bau).
7. Taburkan daun ketumbar dan daun bawang. Hidangkan.

DIY Meja Serbaguna



Saya percaya dirumah saudara/ri sekalian ada kayu2 yg tidak digunakan. Jangan dibuang/dibakar kayu2 tersebut. Manfaatkannya. Gunakannya dgn baik. Benda yg paling mudah yg boleh dibuat adalah meja atau bangku. 
1. Pilih & ukur kayu2 yg ada. 
2. Design (lukis) diatas kertas, meja/bangku yg ingin dibuat menggunakan ukuran kayu2 yg ada.
3. Potong kayu tersebut ~ atau ketam terlebih dahulu (atau nak ketam dulu baru potong). Terpulang pada keselesaan masing2. 


4. Pakulah apa lagi smile emoticon Kebetulan kayu recycle saya kena yg lempung (bergabus). Ketuk dgn paku 3 hung ye tak mboh lekat. Baham dgn paku 4 hung pun ye dok jadi. Last sekali tebuk lubang; pasang nat terus.
5. Siap pasang kaki; pasang kekuda dan pasanglah lantai dia.
6. Ketam bucu2 kayu agar tidak tajam dan berselumbar.
7. Siap. Klu nok comel dan tahan lama lagi sapukan cat atau bremih.
 

KERAPU SWEET SOUR MANGGA



Masih tercari2 menu tengahari? Jom cuba resipi ini smile emoticon

1. 3 ekor ikan kerapu yg disiang dan dibasuh dengan air perahan limau nipis + garam kasar. Kemudian basuh dgn air lalu.
2. Gaul ikan tersebut dengan telur yg telah dibancuh dengan serbuk kunyit dan sedikit garam halus.
3. Goreng kerapu tesebut sehingga masak.
4. Utk sosnya pula, tumis 4 biji bawang merah + 4 ulas bawang putih + 3 biji lada jarum sehingga harum.
5. Masukkan sos cili, sos tomato dan masak. Masukkan sedikit air (ikut jumlah sos yg anda ingini) dan masak.
6. Masukkan serai yg telah diketuk dan dipotong + 4 helai daun limau purut + separuh bawang besar yg dihiris nipis. Dan masak.
7. Masukkan lobak merah yg telah dipotong nipis + timun batang yg dipotong dadu + mangga yg dihiris halus. Masukkan sedikit garam halus. Masak sehingga lobak menjadi lembut.
8. Sekiranya sos kelihatan cair, bancuh sedikit tepung jagung dgn air kemudian masukkan kedalamnya. Kacau. 
9. Hidang di dalam pinggan. Taburkan hirisan mangga diatasnya. Dan sediakan limau nipis bagi mereka yg nak lagi masam. Selamat mencuba

Tuesday, September 1, 2015

Tata-susun Tumbuhan dalam Taman


Kelmarin saya berjanji utk share bagaimana tata-susun tumbuhan di dalam taman kediaman atau landskap taman awam. Sebenarnya penyusunan tumbuhan tersebut bergantung pada konsep/style taman yg ingin kita cipta. Namun 'kebiasaannya', tata-susun tersebut tidak akan lari dari asas komposisi begini.
1. Kategori pokok yang tinggi (primary tree) akan diletakkan dibelakang sekali dari 'point of view- POV' (spt balkoni, pintu masuk, jendela, gazebo dll.) Utk taman kediaman pokok dlm kategori ini adalah seperti Tower tree, kelapa, pinang, Eucalyptus dll.
2. Pokok yg sederhana tinggi (secondary tree) pula akan diletakkan ditengah2 diantara kedua primary tree dan sedikit kehadapan POV. Pokok dlm kategori ini adalah seperti Penaga lilin, Syzygium, Podocarpus, Ficus dll.
3. Shrub pula diletakkan diantara secondary tree dan lebih kehadapan POV. Tumbuhan dlm kategori ini adalah spt Muraya, Santalia, Loropetalum, Jasmine, Melur dll.
4. Ground cover pula digunakan untuk menutup semua permukaan tanah antara kesemua tumbuhan diatas. Dan ia diletakkan lebih kehadapan POV.
5. Sekiranya berminat, diantara pokok kategori 1&2 tadi, boleh disyorkan tumbuhan menumpang seperti paku pakis, orkid dan periuk kera.
6. Tata-susun tumbuhan secara bertingkat spt ini boleh membantu audiens (tetamu & tuan rumah) utk menikmati keseluruhan isi taman. Ia juga memberi ruang & peluang kpd tumbuh-tumbuhan tersebut utk bermandiri dgn baik.
7. Ini kerana, jika anda memasuki hutan, anda akan dapati struktur penyusunan tumbuhan (secara semulajadi) yg sama juga wujud spt gambarajah ini. Cuma bezanya ia dinamakan 1) emergent layer 2) canopy layer 3) undergound layer 4) climbers.

Monday, August 31, 2015

Santalia Daun Batik


Kelmarin saya post pasal menanam dan menyemai tumbuhan. Ini tumbuhan kategori shrub. Santalia daun batik. Boleh buat bonsai atau topiari. Biasa dekat mana2 nursery pun org jual rm14-15. Tapi saya jual rm11 je. Sesiapa yg berminat boleh order dgn saya. Order dan datang ambil di Alzikr Studio, Kuala Terengganu.

Sunday, August 30, 2015

10 Tips Bertaman Cara Mudah & Murah


Kepada rakan2 yg ingin bertaman/berlandskap utk kediaman tapi kekurangan bajet utk tujuan tersebut, disini saya kongsikan 10 tips yg boleh diberi perhatian:

1. Abaikan dahulu feature2 hardscape yg memerlukan belanja yg besar spt water feature, wall panel, pergola, gazebo dll. Semoleknya sediakan tabung khas utk tujuan tersebut.

2. Tumpukan pada softscape (tumbuh-tumbuhan) terlebih dahulu. belilah tumbuh2 mengikut kategori; 
a) primary tree
b) secondary tree
c) shrub
d) ground cover
e) grass


3. Akan datang saya akan share macamana tumbuh2 ini perlu ditata-susun.


4. Instant tree utk kategori primary/secondary tree sangat mahal jika dibeli. Jadi belilah anak pokok, biarkan ia membesar dlm polybeg. Kemudian baru tanam ditempat yg telah dikhaskan.


5. Tumbuhan kategori shrub juga agak mahal jika dibeli dlm jumlah yg banyak. Jadi beli 8-15 pohon dahulu dlm 1-2 jenis yg berbeza. 


6. Beli tumbuhan utk kategori ground cover. 


7. Bahagikan komposisi taman mengikut sudut2/penjuru2 halaman atau hadapan, tengah dan belakang. 


8. Siapkan (tanam) taman dibahagian hadapan kediaman terlebih dahulu. 


9. Potong dahan shrub yg telah mandir di taman hadapan tersebut, kemudian semai dlm polybeg utk ditanam dibahagian tengah dan belakang halaman pula.


10. Ground cover kebanyakkannya mudah membiak. Alihkan ground cover yg telah padat ke taman dibahagian tengah dan belakang halaman. InsyaAllah tidak sampai setahun halaman kediaman anda sudah penuh dgn tumbuh-tumbuhan.

Saturday, August 29, 2015

KENNY ROGERS KUBANG TANGGA


1. Beberapa ketul ayam dikelar-kelar dagingnya.
2. Ayam tersebut digaul bersama 4 sudu sos cili, 4 sudu sos tomato, 4 sudu kicap, sedikit serbuk black paper, Basil leaves, Mint flakes, 2 sudu madu dan sedikit air performance shaklee. Sukatan ini bergantung jumlah ayam yg digunakan. Seeloknya pastikan ketulan ayam tersebut terendam sepenuhnya di dalam ramuan.
3. Perap selama 1 malam.
4. Bakar menggunakan dapur arang atau boleh juga menggunakan alat pemanggang.
5. Hidang bersama sos cili atau mayonis atau sos blackpepper.