Friday, October 30, 2015

White Dendrobium | Cara menghias Orkid

Sebagaimana yang saya janjikan sebelum ini, hari ini saya akan tunjukkan cara bagaimana ingin menghias tumbuhan segar untuk dibawa masuk ke dalam rumah sebagai satu bahan dekorasi kediaman. Kita mulakan dengan pokok orkid dahulu. Hari ini saya akan gunakan orkid mini dari family Dendrobium.

1. Sediakan orkid; balang kaca; batu kerikil besar (kalau ada kayu chipping lagi bagus); dan batu kerikil kecil yang berlainan warna (seeloknya wana terang dan warna gelap). Pastikan batu-batu tersebut dibersihkan terlebih dahulu.

2. Masukkan batu kerikil besar ke dalam balang kaca. Batu ini bertujuan untuk menyediakan rongga udara di dalam balang kaca, agar akar orkid boleh bernafas. Sekiranya anda menyiram, pastikan air siraman tersebut tidak melebihi paras batu kerikil ini.

3. Kemudian masukkan pokok orkid, dan letak seimbang diatas batu kerikil dan diantara bibir balang kaca. Pastikan 2-4 akar pernafasannya dibiar keluar dari balang kaca.

4. masukkan pula batu kerikil kecil berwarna hitam. Letak disekeliling orkid.

5. Masukkan pula batu kerikil bewarna cerah diatas batu kerikil berwarna hitam tadi. Letak sehingga mencecah bibir balang; tetapi jangan ditindih akar dan medium orkid tersebut. Tambahkan sedikit lumut jika perlu.

6. Siap. Boleh dibawa masuk ke dalam kediaman. Mini orkid ini sesuai diletak diatas meja makan, meja kopi, di dapur dan di dalam tandas dimana ada sumber cahaya. Ia memerlukan kelembapan yang tinggi. Sesuai di ruang yang berhawa dingin. Siram sekadarnya dengan memastikan lumut dan akarnya sentiasa lembap. Sekiranya anda meninggalkan kediaman dalam tempoh yang lama, anda boleh menyiramnya sehingga paras air mencecah batu kerikil besar yg paling atas. Ia tidak memerlukan baja ketika sedang berbunga. Selepas kesemua bunganya gugur bolehlah disembur baja antara 2-3 kali seminggu.

Sekian perkongsian saya hari ini. Selamat mencuba :) 
Sekiranya berminat untuk mendapatkan orkid yang siap dihias, anda boleh whatsapp saya di 0176559773. 



~ Penulis merupakan Sarjana Sains Pengurusan Taman & Rekreasi.

Wednesday, October 14, 2015

Dorongan TERDESAK | Produk Kecantikan & Kosmetik

Saya percaya ramai dikalangan saudara/ri yang sukar mempercayai produk kesihatan lebih-lebih lagi produk kosmetik. Saudara/ri pasti melihat kempen dan promosi produk-produk tersebut dengan cara yang ‘melampau-lampau’dan tanpa pembuktian saintifik dengan perasaan memualkan. Itu belum lagi dikira penyalahgunaan/manipulasi wanita-wanita cantik dan seksi yang digunakan sebagai ‘cover’ produk dan bahan kempen. Lebih malang adakalanya wanita-wanita tersebut dimanipulasikan untuk  melariskan ‘ubat kuat’, ‘ubat ketat’ dan bermacam tagline lagi yang malu untuk saya menyebutnya di sini. Lebih  memalukan ada syarikat yang menggunakan cara seperti ini untuk menjual dan melariskan produk yang dikatakan ‘makanan sunnah’! Pelik; makanan sunnah tapi cover produk dan flyers memaparkan wanita cantik yang tidak bertudung. Seolah-olahnya sunnah itu hanya terletak pada makanan dan tidak pada pakaian dan seluruh kehidupan. 

Tapi percayalah. Produk-produk seperti ini memang mendapat tempat dihati pengguna, biar semahal mana pun harganya, biar sesulit mana pun ekonomi pengguna tersebut. Sebab?

Sebabnya pengguna didorong oleh perasaan TERDESAK. Ya terdesak. Seseorang yang sedang menghidapi penyakit dan tidak sabar diatas penyakitnya itu akan melakukan apa saja untuk sembuh seperti sedia kala. Bahkan mereka sanggup pusing dunia mencari bomoh yang paling hebat pun. Anda tidak percaya? Ya, sebab anda belum merasai penyakit kencing manis, gout, sakit jantung, sakit tulang, resdung , gastrik/ulser dan lemah tenaga batin. Bila anda merasainya, anda akan tahu betapa sakit dan terdesaknya orang yang mengalaminya.

Menyentuh tentang lemah tenaga batin, ia banyak berlaku pada kaum lelaki. Ya, kaum lelakilah yang tergilakan ubat kuat, minyak lintah, gambir serawak, tongkat ali dan sebagainya. Kaum lelakilah yang ramai tertipu dengan ubat-ubat kuat seperti ini, yang sebenar kandungannya adalah dadah. Entah kepuasan dan ‘saiz’ yang bagaimana lagi yang mereka harapkan, saya pun tidak pasti. Sedangkan Allah telah menetapkan sesuatu pada kadaran yang sesuai dengan kemampuan dan fitrah seseorang.

Foto dari http://www.nutragreenbio.com/


Kaum wanita pula terdesak untuk kelihatan cantik. Yang jerawat, tak nak jerawat; yang jeragat, tak nak jeragat; yang buncit, taknak buncit; yang gelap, nak cerah, yang kerinting, nak lurus. Eloklah keinginan untuk kelihatan cantik tu, tapi masalahnya di rumah dan di depan suami mereka tidak bercantik pun. J

Sunday, October 11, 2015

Pulau Kerengga Terengganu

Kalau kelmarin saya kongsikan keindahan dan keunikan Pulau Sekati, hari ini saya ingin kongsikan pula keindahan Pulau Kerengganu, Marang. Saya pun sudah lama tidak menjejak kaki ke sini. Kali terakhir saya datang pada tahun lepas. 

Pemandangan di sini cukup indah dan mendamaikan. Ia menjadi lubuk kepada 'landscape photographer' dan sudah semestinya lubuk kepada pemancing dan penjala ikan. Berikut saya kongsikan beberapa keping gambar landskap yang saya rakamkan di sini. 








Dan ada diantaranya saya oleh dengan permainan warna



Dan juga dalam tona hitam putih.


Pulau Sekati Terengganu


Sesiapa yang berkunjung ke Muzium Losong, Terengganu pasti akan terpandang akan jambatan kayu bewarna putih yang merentang sampai ke sebuah pulau. Sewaktu kecil-kecil dahulu, saya pun tertanya-tanya, pulau apakah yang 'misteri' dan terpencil itu? Saya tidak pernah mendekati jambatan itu, jauh sekali menyeberang sampai ke pulau tersebut. Saya hanya sampai ke jambatan itu sewaktu sesi 'outdoor' fotografi perkahwinan saya pada tahun 2009. Itu pun hanya sampai disekitar jambatan itu saja, tidak sampai ke pulau sana.




Pulau itu dinamakan Pulau Sekati. Dahulu jambatan inilah satu-satunya yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar. Selain basikal dan motosikal, semua kenderaan tidak boleh menyeberang ke pulau tersebut. Hari ini saya tidak pasti bagaimanakah keadaan jambatan, jeti kecil dan Pulau Sekati. Sudah lama saya tidak ke sini, selepas gambar sunset diatas dirakamkan. Dengar kata sedang dibangunkan sebuah jambatan konkrit di sini yang berhubung terus dengan lebuh raya, setakat mana progresnya saya tidak pasti. Namun bagi saya, jambatan ini, jeti dan Pulau Sekati itu sendiri cukup nostalgik dan mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. 

OUTDOOR PERKAHWINAN | Satu kreativiti


Sejak sekian lama kita membudayakan sesi 'outdoor' dalam foto perkahwinan, tetapi masih ramai pengantin yang rigid dan tidak berani mempelbagaikan kreativiti di dalamnya. Bagi sesetengah pasangan pengantin, foto perkahwinan mestilah memakai kostum perkahwinan; kena ada gaun labuh, tuxedo, baju melayu, baju songket dan sebagainya. Sedar atau tidak, menempah dan menyewa kostum-kostum tersebut boleh mencecah harga ribuan ringgit bahkan lebih mahal dari pakej fotografi perkahwinan itu sendiri.


Tidak salah mengenakan kostum perkahwinan di dalam sesi 'outdoor'. Sekiranya kita mempunyai 5-10 pasang persalinan, mengenakan kesemuanya dalam setiap sesi foto adalah anjuran yang terbaik. Tetapi sekiranya kita tidak memiliki banyak persalinan, dan kita tidak berminat untuk menghabiskan wang untuk persalinan-persalinan tersebut, menggunakan pakaian yang sedia ada dalam 'wardrobe' kita sendiri adalah opsyen yang terbaik. Sekiranya kita adalah seorang tentera, kita boleh gunakan seragam tentera sebagai persalinan kita; lokasi fotonya di hutan belantara atau diatas kapal perang :) . Sekiranya kita adalah doktor, kita boleh gunakan kot doktor, atau pakaian bedah; lokasi fotonya pula mungkin di hospital atau di dewan bedah :). Dan begitulah seterusnya mengikut profesyen masing-masing. 

Bosan dengan pakaian sama, diwaktu kerja dan sesi outdoor, kita boleh bermain konsep dengan berlakon menjadi profesyen yang lain seperti budak sekolah, nelayan, petani, orang kampung dan sebagainya. Kostum-kostum untuk kesemua profesyen tersebut pasti sudah tersedia di dalam alamari kita atau almari saudara mara kita. Tidak perlu menghabiskan duit untuk menempah atau menyewanya. Tidak mahu berprofesyen, kita boleh menjadi orang biasa-biasa saja. Cukup sekadar memakai t-shirt, kemeja atau pakaian harian kita. 


Opsyen-opsyen yang dinyatakan diatas menjadikan sesi fotografi itu berjalan dengan lebih santai, tidak tergopoh gapah dengan persalinan dan solekan yang tebal. Ia juga menghasilkan seni foto 'natural' yang lain dari yang lain. Dan yang paling penting ia boleh menjimatkan poket pasangan pengantin. :)

Friday, October 9, 2015

IHSAN | Potensi Diri


Suatu ketika dahulu saya pernah mengendalikan program motivasi pelajar samada dibawah NGO mahupun syarikat. Namun lewat ini baru saya menyedari bahawa metod yang saya pakai dalam motivasi itu adalah ‘tidak tepat’. Dan saya percaya ramai motivator dan akademi perunding diluar sana menggunakan kaedah yang sama. Asas pembangunan potensi diri manusia dari roh itu betul. Diselaras pula dengan aqal dan emosi dan seterusnya kepada fizikal itu juga betul. Tapi metodnya salah.

Kita sering melihat pakar motivasi meminta peserta menjerit, “saya boleh!”, “saya boleh!”, “saya boleh berubah!”. Pada pengamatan saya kaedah seperti itu sedikit pun tidak mencetuskan apa-apa potensi dari roh atau hati manusia. Bahkan terbalik, ia mencetuskan sifat ke’aku’an  yang menebal dalam diri manusia, membuatkan manusia semakin jauh dari Tuhan. Cetusan potensi seperti ini hanya berlegar pada peringkat emosi.

Kaedah lain pula, peserta dihidangkan dengan visual penciptaan alam semesta, untuk menggambarkan betapa kerdilnya manusia. Seringkali juga peserta disuruh untuk memejamkan mata, lalu mereka disuruh menghayati ucapan motivator yang penuh dengan kesedihan dan tangisan berlatarkan siulan serunai dan petikan piano kitaro. Aduh sedih. Siapa pun pasti insaf dan menangis. Adakah ia sampai kepada roh/hati sanubari manusia? Belum tentu; adakalanya ia hanya berlegar-legar diminda dan khayalan peserta sahaja.

Peserta juga diasuh membina keyakinan diri dengan membuang sifat malu; berdiri dan duduk dengan tegap (yakin); selalu kehadapan; bercakap dengan yakin; dsb. Tujuan ini betul. Tapi pendekatan yang digunakan salah. Kita hanya membina keyakinan kendiri – yakin pada diri sendiri. Tapi diri kita itu siapa? Sebab itu ramai orang yang yakin diri, tetapi tidak sedar diri.

Permainan khayalan & aqal dan amalan ‘yakin pada diri sendiri’ seperti inilah yang menebalkan sifat ke’aku’an manusia. Dan sifat ke’aku’an inilah yang menjadi tembok pemisah diantara manusia dengan Tuhan. Bentuk motivasi diri seperti inilah melahirkan ramai manusia (yang dikatakan) hebat tetapi sombong (dengan sifat ke’aku’an). Aku itu; aku ini; kalau bukan aku yang…; kalau aku tidak tolong…; dan ber’aku’-aku lagi. Ada yang bijak merasa dirinya hebat. Ada yang menjadi  professional merasa pandangannyalah yang paling tepat. Ada yang menjadi agamawan langsung tiada boleh berbeza pendapat.

Maafkan saya. Lewat ini baru saya menyedari bahawa potensi diri manusia yang sebenar adalah bilamana manusia itu melepaskan ke’aku’an dirinya. Menjadi hamba sehamba-hambanya. Bahawa dia tidak berkongsi apa-apa dengan Pencipta. Bahawa dirinya, seluruh kehidupannya dan segala gerak diamnya tidak pernah terpisah dengan Tuhannya barang sesaat! Sedar diri; ‘merasa’ kebersertaan Pencipta dalam setiap perjalanan hidupnya; di dalam solat, di dalam ibadat, di dalam jaga, di dalam tidur, ketika makan, ketika memandu, ketika mandi, ketika memasak, ketika bercakap, ketika belajar, membaca, menulis dan pada setiap ketika. Rasa kesedaran inilah yang menghidupkan roh. Di sinilah punca potensi diri yang sebenar. Bilamana seorang hamba itu tidak lagi bergantung pada dirinya, dan pada sesiapa sahaja selain Allah. Tiada yang lain – Hanya Allah. Inilah yang dinamakan IHSAN.

Kepada mereka yang diluar sana yang pernah menyertai kursus motivasi yang pernah dikendalikan oleh saya atau saya sebahagian dari tenaga pembimbingnya, maafkan saya. Ketahuilah oleh kalian bahawa saya silap dan pendekatan yang saya gunakan itu ‘tidak tepat.’  Semoga Allah mengampuni  dan memelihara saya dan kalian semua.