Wednesday, March 31, 2021

Kehidupan ini adalah cinta

KEHIDUPAN INI ADALAH CINTA. 
Sahabatku, guru pernah berpesan, agar kita menikmati hidup ini dengan sepuas-puasnya. Puas di sini bermaksud menikmati setiap pemberian dan ketetapan Allah dgn hati yg redha, merasa cukup dan seterusnya bersyukur. 

Ketahuilah bahawa segala kehendak dan ketetapan Allah pada kita itu adalah tiada lain, hanya semata-mata kerana cinta dan kasih sayangNya pada kita. Dia mencipta kita kerana Dia mahu kita makrifat akanNya, berserah diri dan menyambut cintaNya (QS. 51: 56). Dia mencipta ibu, ayah dan anak2 kita kerana Dia mahu kita merasa nikmatnya berkasih sayang (QS 46: 15); betapa kasih sayangNya adalah berkali-kali ganda lebih hebat dari itu (HR. Bukhari & Muslim dan HR. Imam Ahmad & Al-Hakim).

Dia ciptakan tumbuhan agar kita menikmati udara dan makanan. Dia ciptakan hidung dan paru2 utk kita menghirup udara tersebut; mulut, usus dan perut utk kita memproses makanan tersebut. Dia ciptakan pula ginjal utk tubuh kita menapis makanan yg merbahaya dan kotor; dan diciptakan pula organ perkumuhan utk membuang sisa makanan tersebut. (QS. 45: 4) Aduh nikmatnya menikmati, walaupun secebis makanan yang saban hari kita makan.

Dengan kasih sayangNya Dia ciptakan pula bunyi-bunyian untuk kita. Burung yang berkicau; angin yang berbisik; ombak yang menderu; daun yang gemersik agar hidup kita tidak terasa hening dan sunyi; sepi dan sendiri. 
Sahabatku, alangkah kompleksnya menciptakan walaupun seorang dari kita. Kita memerlukan bumi untuk didiami. Bumi pula memerlukan bulan dan matahari untuk mandiri. Bulan dan matahari pula memerlukan planet-planet dan bintang-bintang yang lain, membentuk sistem suria. Begitu pula sistem suria ini memerlukan sistem-sistem suria yang lain, membentuk galaksi. Begitu pula galaksi ini memerlukan galaksi-galaksi yang lain, membentuk kosmos. Dan begitu pula kosmos ini berjaring dengan kosmos-kosmos yang lain membentuk alam semesta. Segalanya diatur, bergerak dan beredar pada garis edaran masing-masing sebagaimana yang ditetapkan Allah tanpa seinci pun ingkar, lari dari ketetapan tersebut (QS. 21:33, 36: 40 dan 35: 13). MasyaAllah betapa kompleksnya untuk menciptakan dan memberi kehidupan meskipun hanya seorang saja daripada kita. Namun Dia tetap menciptakan semua itu hanya semata-mata untuk kita; kerana cintaNya Dia kepada kita.Tidak cukup dengan itu, Dia sediakan pula Syurga buat kita yang kembali menyerah diri dan menyambut cintaNya (QS. 2:82, 4:57, 4:122, 7:42, 10:9, 11:23, 13:29,……85:11) Subhanallah begitu banyak sekali janji Allah mengenai Syurga buat kita yang mahu kembali ke sisiNya. 

Untuk memanggil kita pulang ke sisiNya, Dia cetuskan pula kehendak dlm hati kita; Dia menggerakkan kita utk mengenali Dia, beribadah dan menyerah diri kepadaNya (QS. 7-10). Betapa Dia terlalu merindui kita agar kita tidak sesat utk pulang kehadratNya; dan tidak terhumban ke dalam neraka. Betapa Dia mengasihi kita, Dia memberi petunjuk dan hidayah kepada kita (QS. 6:125 & 7:43); menjadikan kita Islam, menjadikan kita beriman dan berihsan kepadaNya. Dia utuskan pula Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang sangat lemah lembut dan penyayang utk mengingatkan dan menasihati kita agar tidak terpesong dari kasih sayangNya (QS. 6:48, 16:36, 21:25 & 107 dan 35:24). 

Kadangkala Dia menguji kita dengan sedikit kesusahan dan kesakitan (QS. 29:2-3). Betapa saat itu kasih sayangNya tidak tergambar kerana Dia ingin menghapuskan dosa kita (HR. Bukhari no. 5660 & no. 5641 dan HR Muslim no. 2571 & no. 2573). Dia tidak mahu kerana dosa itu, kita ke neraka. Betapa saat itu Dia ingin kita bersabar dan bersyukur kepadaNya. Yang dgn sabar dan syukur itu meningkatkan darjat dan kehampiran kita di sisiNya (QS. 2:155-157). Dari sekian ramai manusia, Dia memilih kita utk kembali hampir kepadaNya. Aduh alangkah beruntungnya. 

Sahabatku, percayalah kepadaku bahawa Allah itu terlalu dekat dengan kita; bahkan lebih dekat dari urat leher kita sendiri (QS. 50:16) Dia tidak pernah berpaling meninggalkan kita, jauh sekali menzalimi kita. Melainkan kita sendirilah yg menzalimi diri kita. Demikian perumpamaan, selangkah kita rapat kepadaNya, seribu langkah Dia mendatangi kita. Cinta dan kasih sayangNya tiada pernah padam terhadap kita (QS. 39: 53-54); Dia sering mengingatkan kita akan kasih sayangNya kepada kita setiap hari. Al-fatihah yang kita baca pada setiap rakaat dalam solat itu penuh sarat dengan kasih sayangNya. Malangnya kita tidak menyedari; tidak pula ambil peduli. 

Percayalah sahabat, Dia tidak pernah berpisah; tidak pernah meninggalkan kita. Tidak pernah sama sekali! Kalaulah Allah meninggalkan kita walau sedetik, nescaya binasalah kita. Siapa lagi yang berkuasa memberi udara pernafasan kepada kita selain Allah? Siapa lagi yang berkuasa menggerakkan darah di dalam tubuh badan kita? Siapa lagi yang berkuasa memberi kita makan? Berkuasa memberi kita penglihatan, pendengaran, dan segala-galanya? Siapa lagi?

Sahabatku, percayalah apa yang ku perkatakan ini. Renung dan tenunglah; hayati dan telitilah apa yang ku perkatakan ini dalam lubuk sanubarimu yang paling dalam. Andai kata kau dapati aku berbohong, kelak kau potonglah lidahku. Sebaliknya, andai pula kau dapati ianya benar, maka kau lepaskanlah segala keakuan mu dan kembalilah menyerah diri semata-sama kepada Allah; Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dan ucaplah “laa ilaaha illallah” dengan sepenuh perasaan; rasa mengalah, pengharapan dan kerinduan terhadap Zat yang senantiasa menantikan kepulanganmu.

Oleh Zakaria Alzikr

No comments:

Post a Comment