Friday, March 7, 2014

Cinta Agung

Bismillahir Rahmannir Rahim...

Asas dalam beragama adalah mengEsakan Tuhan. Yakni menafikan segala bentuk kekuasaan yang lain selain dari Tuhan. Yang sebenar-benarnya berkuasa hanyalah Tuhan. Dan Tuhan itu mestilah Esa (satu). Kerana bagaimana dikatakan Tuhan itu benar-benar berkuasa sekiranya kekuasaan itu dikongsikan dengan tuhan-tuhan yang lain, samada anak, isteri atau dewa-dewa? Logik aqal manusia sendiri pun boleh memahami bahawa Tuhan itu bukan tuhan sekiranya Dia berkongsi kuasa. Seorang raja itu tidaklah berkuasa sekiranya ada raja yang lain dalam pemerintahannya. Seorang presiden dan perdana menteri pun tidak dikira berkuasa jika adanya individu yang sejawat dengannya, atau adanya 'first lady' yang boleh mengarah dan mengganggu pemerintahannya. 

Dalam ilmu matematik Esa itu bolehlah diumpamakan dengan angka satu (1), yakni yang sebenar-benarnya nombor perdana, yang tidak boleh dibahagikan dengan sebarang nombor yang lain kecuali dirinya saja. Dirinya saja yang sebenar-benarnya 'wujud' dan dirinya saja yang sebenar-benarnya 'berkuasa'.

Islam datang dengan kalimah syahadah sebagai Rukun Islam yang pertama. 
 لَا إِلٰهَ إِلَّا الله مُحَمَّدٌ رَسُولُ الله 
Yang bermaksud, "Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah." Satu kalimah yang begitu mudah untuk diungkapkan, tetapi teramatlah berat timbangan dan perhitungannya. Kalau tidak, masakan Nabi SAW bersabda, "Barangsiapa mengucapkan kalimah Laa ilaaha illallah dengan penuh keikhlasan maka dia akan masuk Syurga." (Shahih, HR Ahmad, Ibn Hibban - Silsilah as-Shahihah 5/354). 

Kalimah لَا إِلٰهَ إِلَّا الله ini menafikan kekuasaan yang lain selain dari Allah. Yang memberi rezeki adalah Allah. Yang memberi lapar adalah Allah. Yang memberi makan adalah Allah. Yang memberi kenyang adalah Allah. Yang memberi lihat adalah Allah. Yang memberi dengar adalah Allah. Yang memberi sakit adalah Allah. Yng memberi sembuh adalah Allah. Yang memberi hidup adalah Allah. Yang memberi mati adalah Allah. Segala-galanya adalah milik Allah; dan hanya Allah semata-mata. Tiada satu pun daya dan upaya makhluk selain dari Allah. Ketauhidan (mengEsakan Tuhan) yang mantap inilah hakikat sebenarnya beragama. Kemudian barulah disusuli dengan amalan-amalan yang lain seperti solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah lain. Hatta ibadah-ibadah tersebut pun sebenarnya dapat dilaksanakan atas izin dan kudrat Allah, bukan kudrat manusia.

Di dalam Surah Al-Fatihah yang menjadi surah wajib dalam setiap rakaat solat, umat Islam membaca, "KepadaMu-lah kami sembah dan kepadaMu jua kami mohon pertolongan." Ayat ini sekali lagi mengingatkan bahawa hanya Allah-lah satu-satunya Tuhan yang disembah dan Dia jugalah 'Satu-satunya' tempat memohon pertolongan. Dialah tempat mengadu masalah. Dialah yang menyelesaikan masalah. Dialah tempat berharap. Dialah yang menunaikan harapan. Semuanya bergantung kepadaNya. 

Seorang mukmin yang betul imannya akan meletak Allah mengatasi segala-galanya. Penglihatannya mengingatkan dia akan 'penglihatan' Allah. Pendengarannya mengingatkan dia akan 'pendengaran' Allah. Segala gerak diamnya mengingatkan dia akan tajalli kudrat dan iradat Allah. Di hatinya tiada yang lain ~ hanya Allah. ".. Maka kemanapun kamu menghadap, maka disitulah wajah Allah.." (Al-Baqarah: 115) Inilah sebenarnya cinta agung. Kemanapun dia pergi, dia bersama CINTANYA.

Cinta Agung | Masjid Tengku Tengah Zaharah Terengganu | alzikr 2014
 

No comments:

Post a Comment