Sunday, March 30, 2014

MH370 | MULANYA DI SINI

Bismillahir Rahmannir Rahim...

Ini adalah artikel pertama saya  mengenai 'Misteri' (yang hari ini ditukar kepada 'Tragedi') MH370. Saya mengambil masa yang lama untuk menulis berkenaan tragedi ini kerana mengambilkira kesahihan sumber serta sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa. Lagi pula saya merasakan, kalaupun betul andaian-andaian (kini dibaca spekulasi) saya tersebut, ia sedikit pun tidak akan mendapat perhatian pihak yang berkenaan, dan sedikit pun tidak dapat membantu usaha pencarian MH370 tersebut. Bahkan ia mungkin menambahkan lagi liabiliti yang terpaksa ditanggung pihak penyiasat, pencari dan penyelamat. Kenapa saya katakan begitu? Sebab boleh jadi apa yang berlegar-legar di dalam kepala saya sekarang ini sudah pun dalam makluman pihak berkuasa, cuma mereka tidak mengeluarkan kenyataan sebagaimana yang saya mahukan (bahkan bercanggah langsung dengan hakikat yang sebenar) demi menjaga rahsia penyiasatan dan hal-hal yang berkaitan. Cuba bayangkan sekiranya pihak berkuasa sudah pun mengagak 'perkara yang sebenar', cuma sedang mengumpul bukti kukuh mengenainya, dan kenyataan-kenyataan yang 'pelik' yang mereka keluarkan itu juga sebahagian daripada 'usaha' mereka untuk mengumpul bukti tersebut. Sedang pada masa yang sama, kita secara 'bijak' (baca bongkak) telah merungkaikan andaian-andaian yang disembunyikan itu, dan ia memberi beban kembali kepada pihak berkuasa untuk memperbaiki labu yang kita bocorkan (samada secara sengaja mahupun tidak sengaja). Jelas sekali, kebijaksanaan kita dalam mengandai tidak sedikitpun membantu, bahkan menrumitkan lagi keadaan. Ingat, tidak semua maklumat dan hasil siasatan perlu dilaporkan kepada media. Juga perlu diingat, apakah musuh-musuh diluar sana tidak membaca dan menyelidik apa yang kita tulis?

Dari aspek yang lain pula, hari ini, siapa pun kita. Tidak kira apa pun fahaman politik kita. Di waktu yang segenting ini, dimana seluruh dunia sedang menumpukan mata kepada kita. Ia bukanlah masa yang tepat untuk kita 'menyerang' kerajaan (baca negara) kita sendiri. Dan sekali lagi, kalau pun benar serangan kita itu, saat ini bukanlah waktu yang tepat untuk melancarkannya, melondehkan kelemahan negara kita sendiri disaat seluruh dunia memerhatikan kita. Bayangkan implikasi dari tindakan seperti itu memberi kesan kepada industri penerbangan negara, kemudian memberi kesan pula terhadap industri pelancongan negara, seterusnya terhadap perhotelan & penginapan, kraftangan dan perkhidmatan yang bersangkutan dengannya. Alangkah ruginya negara kita dan kita sendiri. 

MH370 | Mulanya Di Sini | alzikr 2012
Dalam waktu yang sesingkat ini, negara kita ditimpa bala yang bertimpa-timpa dari jenayah bunuh dijalanan, banjir, kemarau di Semenanjung (tapi banjir di Borneo), jerebu, denggi, tragedi MH370, kematian dipesta maksiat, kematian disebabkan bas berguling ke dalam gaung, dan yang terbaru kebakaran pada enjin pesawat Malindo. Apakah semua ini berlaku secara kebetulan? Jawapannya tidak, sekiranya anda seorang yang beriman dan berfikir. Saya tertarik dengan jawapan Ustaz Haryanto Rizal dalam bual bicara di TV Al-Hijrah beberapa malam yang lepas; bahawa kejadian-kejadian ini berlaku untuk kita sujud (kembali) kepada Pencipta. Untuk kita muhasabah diri diatas semua kealpaan dan kesilapan kita dan bertaubat kepadaNya.  

MH370 | Mulanya disinilah kita sebagai rakyat jelata perlu mendekatkan diri kepada Allah, berdoa dan bermunajat kepadaNya. Bukankah doa itu senjata bagi orang mukmin? Bukankah Allah itu teramat dekat dengan kita bahkan lebih dekat dari urat leher kita sendiri? Bukankah Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani? Pastilah Allah tidak sesekali menganiaya hambaNya. Dan pastilah Allah tidak akan menimpa kan kepada kita sesuatu ujian yang tidak tertanggung oleh kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Bijaksana. KebijaksanaanNya itu mahu kita sebagai hamba 'kembali' dan menyerah diri kepadaNya.

MH370 | Mulanya disinilah kerajaan yang memerintah perlu kembali ke jalan yang benar sebagaimana yang ditunjukkan Al-Quran dan Al-Hadith. Membersihkan ekonomi negara dari riba dan penindasan. Menguruskan zakat dan keperluan asnafnya dengan adil. Mengangkat undang-undang syariah ke tempat yang selayaknya. Mengangkat majlis ilmu dan menghentikan pesta maksiat. Mengekang judi, arak dan hiburan yang melalaikan. Apabila semua ini dilaksanakan, maka barulah Rahmat dan Keberkatan Allah turun ke bumi yang bertuah ini. Bagaimana melaksanakannya? Jawapannya di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. 

MH370 | Mulanya disini jugalah sistem penerbangan negara khususnya Malaysia Airlines perlu mengambil iktibar dengan langkah berani menghentikan serta merta penjualan arak di dalam kabin penerbangan serta menetapkan pakaian yang lebih sopan bagi krew yang bukan Islam dan menutup aurat bagi krew yang beragama Islam. Adalah teramat malang pada hari ini, sekiranya dengan ujian yang bertimpa-timpa ini, kita masih lagi sombong dengan maksiat yang kita lakukan. Sebuah pesawat hilang, dua yang lain menghadapi masalah teknikal, sehingga dikritik masyarakat antarabangsa, tapi kita masih tegar menjual arak di dalamnya?! Kita berdoa, bersolat hajat memohon petunjuk dan pertolongan, tapi kita masih angkuh melanggar perintah Tuhan. Aduh sombong! 

Hari ini negara seolah-olah berkabung dengan tragedi yang menimpa. Bendera diturunkan separuh tiang. Pembaca-pembaca berita dan pengacara mula memakai pakaian yang agak sopan, berwarna hitam, berselendang tapi berjambul di depan. Kita 'seolah-olah' bersedih, bersimpati dan mengharapkan simpati Tuhan atas musibah ini, tapi pada masa yang sama kita masih mengekalkan maksiat kita. Atas menghormati tragedi dan kesedihan yang menimpa, banyak kerajaan negeri telah mengistiharkan untuk 'menangguh sementara' semua program hiburan di negeri masing-masing. Barangkali mereka fikir malaikat pencatat dosa dan pahala itu bercuti dan bekerja mengikut kehendak mereka. Sedarlah, jangan sesekali biarkan doa dan solat hajat kita tergantung disebabkan maksiat dan kesombangan kita. Jangan, jangan sampai Allah 'melempar' kembali doa-doa kita ke bumi dan menurunkan bala yang lebih besar diatas kedegilan dan keangkuhan kita! 

MH370. Saya tidak menolak mentah-mentah bahawa negara kita sedang berhadapan dengan teori konspirasi peringkat tertinggi tetapi tidak pula saya menerimanya bulat-bulat. Apa yang pasti, bagi saya, ini adalah satu ujian (baca bala) yang hampir kemuncak yang ditimpakan kepada kita. Agar kita sedar dari kelalaian kita. Ujian ini mengatasi persaingan politik kepartian, melangkaui permasalahan dan pertelingkahan lokal. Ia melibatkan permasalahan dunia, dan silap haribulan ia boleh mengubah geopolitik dunia. Nauzubillah.. Semoga Allah memelihara kita dari segala bentuk fitnah dan bencana. 

MH370 | Mulanya di sini, hari ini, negara kita (pemimpin dan rakyatnya) diserang dan ditekan dari segenap sudut. Kita didesak (terutamanya rakyat negara China) untuk mengemukakan bukti pesawat yang dikatakan 'ended' di Selatan Lautan Hindi dengan berdasarkan bukti dari INMARSAT yang berpengkalan di UK dan bukti-bukti lain yang kesemuanya bersumberkan dari satelit luar negara. Betapa sukar sekali untuk membuktikan sesuatu yang buktinya tiada ditangan, apatah lagi jika bukti itu berada ditangan orang! Dan MH370 itu sendiri seolah-olah sengaja dibawa jauh ke ceruk dunia itu (dimana mencarinya disitu adalah hampir mustahil), atau ia sememangnya tiada disitu! Wallahualam.. Banyak perkara yang bermain difikiran saya, dan saya begitu yakin dengannya. Tapi biarlah ia  hanya menjadi pengetahuan saya dan orang terdekat sahaja. Boleh jadi pihak berkuasa pun sudah punyai pengetahuan yang sama.

MH370 | Mulanya disinilah kita mesti bersatu-padu menghadapi fitnah ini bersama-sama. Kita mesti membela negara ini bersama-sama. Masalah MH370 bukannya masalah Najib seorang, bukan masalah Barisan Nasional sahaja, bukan masalah MAS sahaja, tapi masalah bagi kita semua warganegara Malaysia. Implikasinya melibatkan kita semua; perbendaharaan kita, maruah agama, bangsa dan negara kita. Kita tidak nafikan ia mungkin berpunca dari kelemahan sistem keselamatan, sistem radar negara, kecuaian pemeriksaan keselamatan, rasuah, ketirisan dan sebagainya. Tapi kita mesti ingat, semua ini tidak akan berlaku tanpa campur tangan Allah. Sehebat manapun sistem keselamatan kita dan secermat manapun pegawai imegresen dan pasukan keselamatan kita, kalau Allah telah menetapkan tragedi ini berlaku keatas kita, ia tetap akan berlaku. Apa yang boleh kita ikhtiarkan adalah mengelakkan ia daripada berlaku dengan memohon Rahmat dan keberkatan Allah setiap masa. Tapi bagaimana Rahmat Allah akan turun kalau kita saban masa menderhakaiNya? Dalam pada itu sistem pertahanan, sistem radar, satelit, imegrisen, teknologi laut dalam dan sebagainya wajib dinilai semula dan dipertingkatkan. Tapi semua ini perlu dikaji dan diperbahas hanya di dalam negara kita, bukan 'melondehkannya' di media antarabangsa.
MH370 | Mulanya disinilah, disaat getir sebeginilah, kita mesti tinggalkan terlebih dahulu perbalahan pendirian politik kita. Bersama bersatu mencari penyelesaian dalam isu ini. Tinggalkan maksiat. Teruskan bersolat hajat, berdoa dan bermunajat agar Allah memberi petunjuk kepada kita dan menyelamatkan kita dari bala bencana.  Jika ini merupakan satu muslihat musuh keatas kita, maka percayalah (dengan izin Allah) usaha mereka sia-sia selagi mana kita bersatu padu. Dari Tsauban r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Sesungguhnya Allah memperlihatkan kepadaku bumi secara keseluruhannya, sehingga aku dapat melihat bumi sebelah Timur dan Barat. Dan sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai keseluruh tempat yang Allah tunjukkan kepadaku. Kepadaku diberikan dua macam perbendaharaan, iaitu merah dan putih. Aku memohon kepada Tuhan untuk membantu umatku agar mereka .tidak dibinasakan oleh kekuatan asing selain oleh diri mereka sendiri, sehingga kekuasaan mereka menjadi hancur luluh. Tuhanku berfirman, Ya, Muhammad, Apabila aku sudah memutuskan sesuatu putusan, maka putusanKu tidak dapat diubah lagi. Aku memperkenankan doamu untuk umatmu, bahawa mereka tidak akan binasa dengan musim susah yang panjang. Dan bahawa Aku tidak akan menjajahkan kepada mereka suatu kekuatan musuh selain diri mereka sendiri sehingga kekuatan mereka hancur luluh, sekalipun musuh-musuh mereka bersatu mengelilingi, kecuali bila sebahagian mereka membinakan sebahagian (yang lain) dan mereka saling tawan menawan." (HR Muslim)

No comments:

Post a Comment