Tuesday, March 18, 2014

Kenapa Dengan D90 + Kitlens?

Bismillahir Rahmannir Rahim..

Hari ini, dengan kepesatan aplikasi media sosial dan gadget-gadget yang boleh menyokong penggunaannya, penyebaran atau perkongsian sesekeping gambar menjadi bertambah mudah dan meluas. Ia sekaligus menyumbang kepada peningkatan permintaan kamera termasuk DSLR. Hari ini saya tidak terkejut melihat pelajar-pelajar sekolah mengkelek DSLR dileher masing-masing dengan penuh gaya, meskipun ibu-bapa mereka bagaikan nak pecah anak tekak membebel akan kenaikan kos sara hidup dilaman sosial! :)

Apa pun, itu membawa makna bahawa DSLR bukan lagi sesuatu yang asing, dan seolah-olah tidak lagi menjadi gadget eksklusif bagi fotografer. Ia telah digunapakai oleh segenap lapisan masyarakat. Cuma bezanya samada ia diguna dengan ilmu dan kepakaran atau sekadar eksyen dan kemegahan. 

Bercakap mengenai 'memiliki DSLR', saya pernah berasa puas hati memiliki D90 dengan kitlens 18-105mm; kemudian berasa menyesal memiliki keduanya; kemudian berasa puas hati kembali. Kenapakah saya berasa kepuasan yang berbeza-beza pada tiga tempoh masa yang berlainan? Jawapannya adalah pengetahuan dan pengalaman. Puas hati yang pertama terbit adalah kerana pertama kali memiliki DSLR sendiri setelah hanya melihat dan 'menyentuh' DSLR kawan-kawan. Bagi saya pada waktu itu, memiliki sebarang kamera jenis DSLR adalah satu kepuasan, walaupun sekadar D90 + Kitlens. Waktu itu saya tidak berkira akan sebarang genre. Semua genre (semua gambar) saya belasah, tidak kira samada landskap, sports, human, dan lain-lain. Dan hasil gambar-gambar tersebut sekiranya saya nilaikan semula pada hari ini adalah teramat teruk. Tapi saya tak padam gambar-gambar tersebut dari akaun facebook saya, saya jadikan ia sebagai 'sejarah' dari mana saya bermula. Sekiranya tidak menyakitkan mata anda, di sini saya kongsikan beberapa keping gambar yang saya ambil sewaktu mula-mula berjinak dengan DSLR. 

Terrapuri Resort Kg Mangkuk Terengganu | alzikr 2011

Derah Ini | Setiu Wetland Terengganu | alzikr 2011



Sabah | alzikr 2011

Biarkan Aku Menangis | Taman Nabalu Sabah | alzikr 2011

Kau Yang Tersendiri | Sabah | alzikr 2011

1 Malaysia | LCCT Kuala Lumpur | alzikr 2011

Gila gila Remaja | FIM Motorcross 2011 | alzikr 2011

Teruk hasilnya bukan? Tapi pada saya kala waktu ini, boleh mengambil gambar sebegini sudah menjadi kepuasan hati. Tapi kepuasan itu tidak bertahan lama. Setelah menyertai beberapa group fotografi dan berkawan dengan fotografer-fotografer khususnya dikalangan peminat genre landskap, hati saya mula berasa menyesal kerana membeli D90 + kitlens. Dari cakap-cakap kawan-kawan, hati saya mula berkesal-kesal, kenapa saya tidak memahami terlebih dahulu genre apa yang ingin saya ceburi sebelum membeli DSLR? Kenapa saya tidak memahami terlebih dahulu lensa apa yang sesuai untuk genre yang saya minati itu? Kenapa saya membeli kitlens; kenapa tidak saya beli wide lens memandangkan saya lebih cenderung kepada landskap? Dan kenapa tidak saya beli D800 atau D600  terus, kenapa membazir beli D90? Persoalan-persoalan itu bermain dikepala saya yang cetek ilmu pada ketika itu. Namun keinginan saya kepada full frame dan wide lens tidak membantu apa-apa dalam memperbaiki penghasilan karya saya. Ia tidak memotivasikan dan hanya sekadar menambah ketidakpuasan. Berikut saya kongsikan beberapa karya saya yang 'mendesak' kepada full frame dan wide lens. Dan ia teramatlah teruk jika saya nilaikan pada hari ini.

Hijau Bumi Tuhan | Chamang Pahang | alzikr 2012

KLCC in Fogging | Ampang Kuala Lumpur | alzikr 2011

Tangisan Dihujung Galaksi | Kuala Ibai Terengganu | alzikr 2011

Masuk tahun kedua menggunakan D90 + Kitlens, saya mula merasakan selesa dengan 'mereka'. Saya cuba mengoptimakan penggunaannya dalam sebarang genre fotografi. Saya tidak mahu kekangan gajet yang saya ada menghalang kemajuan saya dalam bidang ini. Jadi saya mengambil keputusan untuk menambah pengetahuan dengan membaca, memperbaiki komposisi dan memperbaiki 'editing'. Alhamdulillah hasilnya tidaklah terlalu mengecewakan. Cuma ketika outing landskap bersama rakan-rakan, jika rakan-rakan berada didepan, saya terpaksa ambil tempat dibelakang, kerana hendak mendapatkan 'wide'. Rakan-rakan memfokuskan lensa kedepan, saya 'tunggeng'kan lensa ke bawah, kerana hendak mendapatkan 'foreground;. Tapi itu semua tidak menjadi masalah bagi saya.

Satu kelebihan kitlens berbanding lensa 'wide' yang lain, anda tidak perlu menukar lensa anda pada moment tertentu ketika hendak mendapatkan imej zoom. Dengan kitlens anda boleh mendapatkan imej wide dan juga imej zoom. Sebagai contoh;

Contoh wide pada 18mm | Saujana | alzikr 2014

Contoh zoom pada 105mm | Terengganu | alzikr 2014

Pun begitu, kelemahan kitlens dalam genre landskap adalah, ia tidak mampu menghasilkan garis perspektif yang kuat terutama pada bahagian 'foreground'. Jadi ia tidak begitu sesuai untuk merakamkan landskap yang menjadikan batu-batuan sebagai 'foregorund'.

Jutaan Dihujung Keluh | Pantai Tok Jembal | alzikr 2013

Gambar ini sebagai contoh. Sekiranya menggunakan lensa yang lebih wide, batu-buatan yang dijadikan foreground itu pastinya lebih besar dihadapan dan lebih kecil dan meruncing kehadapan. 'Effect' garis perspektif seperti itu sangat membantu dalam menguatkan lagi 'lead in line' sesuatu gambar. Tapi ia tidak berlaku pada crop body seperti D90, apatah lagi kitlens sebagai gandingannya. Salah satu alternatif yg ada bagi pengguna kitlens adalah dengan menegakkan kamera pada kedudukan protrait (vertical) dan turunkan sedikit muncung lensa ke bawah. Tapi hasilnya tetap tidak dapat menandingi garis perspektif yang dihasilkan oleh lensa 'wide'.

Hidup | Pantai Pandak Terengganu | alzikr 2013

Sesetengah guru fotografi potret menyatakan kitlens tidak sesuai untuk mengambil gambar potret kerana bukaan aperturenya yang terhad yang lemah dalam penghasilan bokeh. Tetapi bagi saya, benarlah kitlens tidak sesuai untuk bermain potret bagi fotografer profesional, tetapi ia amatlah sesuai bagi fotografer beginner. Berkenaan bokeh pula, tidak semestinya gambar potret memerlukan bokeh. Adakalanya gambar potret memerlukan kejelasan 'background' bagi menceritakan situasi dan suasana dalam gambar.

Kau Dihati | Kemasik Terenganu | alzikr 2014

Anak-Anak Kita | Marang Terengganu | alzikr 2014

Kedua-dua gambar diatas ini sebagai contoh, menggunakan aperture f/11 yang langsung mengabaikan bokeh bagi mendapatkan background yang jelas bagi menguatkan komposisi gambar. Lantaran itu sekali lagi saya tekankan bahawa komposisi adalah suatu elemen yang paling penting bagi sesebuah gambar. Baca mengenai komposisi disini, disini dan disini.

Apa yang pasti, bagi adik-adik atau rakan-rakan yang baru berjinak untuk bermain DSLR, kitlens adalah antara lensa yang paling sesuai untuk genre 'street'. Ini kerana ia adalah satu lensa yang boleh laras dari wide ke zoom, dari 18mm ke 105mm tanpa perlu bertukar-tukar lensa.

18mm | Bilis Maker | Seberang Takir | Terengganu | alzikr 2013

50mm | Kepulangan LKIM Chendering Terengganu | alzikr 2013

Keboleh-larasan kitlens samada dari 18mm-55mm atau dari 18mm-105mm adalah kelebihan yang ada pada kitlens. Dengan hanya membawa kitlens sahaja ke 'street' anda boleh mengambil pelbagai komposisi gambar dari pelbagai sudut (samada wide mahupun zoom). Yang penting, ia cukup ringan untuk dibawa kemana-mana :-)

P/S : Artikel ini ditulis adalah untuk memberi sokongan dan semangat kepada adik-adik atau rakan-rakan yang baru berjinak dalam dunia fotografi. Ia tidak bermaksud untuk menghalang mana-mana individu dari 'upgrade' peralatan fotografi mereka ke tahap yang lebih tinggi. Lagi pula lensa yang diperbuat dari raisin bukanlah bandingannya jika dibandingkan dengan lensa yang diperbuat dari kaca. Apa yang pasti, satu lensa untuk satu genre foto adalah lebih baik berbanding satu lensa untuk pelbagai genre foto. Ia samalah seperti berjumpa doktor pakar untuk sesuatu penyakit adalah lebih baik dari berjumpa doktor awam (general) yang merawat pelbagai jenis penyakit. Pun begitu, untuk mengenali jenis penyakit, ANDA PERLULAH BERJUMPA DOKTOR AWAM TERLEBIH DAHULU. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment