Friday, October 9, 2015

IHSAN | Potensi Diri


Suatu ketika dahulu saya pernah mengendalikan program motivasi pelajar samada dibawah NGO mahupun syarikat. Namun lewat ini baru saya menyedari bahawa metod yang saya pakai dalam motivasi itu adalah ‘tidak tepat’. Dan saya percaya ramai motivator dan akademi perunding diluar sana menggunakan kaedah yang sama. Asas pembangunan potensi diri manusia dari roh itu betul. Diselaras pula dengan aqal dan emosi dan seterusnya kepada fizikal itu juga betul. Tapi metodnya salah.

Kita sering melihat pakar motivasi meminta peserta menjerit, “saya boleh!”, “saya boleh!”, “saya boleh berubah!”. Pada pengamatan saya kaedah seperti itu sedikit pun tidak mencetuskan apa-apa potensi dari roh atau hati manusia. Bahkan terbalik, ia mencetuskan sifat ke’aku’an  yang menebal dalam diri manusia, membuatkan manusia semakin jauh dari Tuhan. Cetusan potensi seperti ini hanya berlegar pada peringkat emosi.

Kaedah lain pula, peserta dihidangkan dengan visual penciptaan alam semesta, untuk menggambarkan betapa kerdilnya manusia. Seringkali juga peserta disuruh untuk memejamkan mata, lalu mereka disuruh menghayati ucapan motivator yang penuh dengan kesedihan dan tangisan berlatarkan siulan serunai dan petikan piano kitaro. Aduh sedih. Siapa pun pasti insaf dan menangis. Adakah ia sampai kepada roh/hati sanubari manusia? Belum tentu; adakalanya ia hanya berlegar-legar diminda dan khayalan peserta sahaja.

Peserta juga diasuh membina keyakinan diri dengan membuang sifat malu; berdiri dan duduk dengan tegap (yakin); selalu kehadapan; bercakap dengan yakin; dsb. Tujuan ini betul. Tapi pendekatan yang digunakan salah. Kita hanya membina keyakinan kendiri – yakin pada diri sendiri. Tapi diri kita itu siapa? Sebab itu ramai orang yang yakin diri, tetapi tidak sedar diri.

Permainan khayalan & aqal dan amalan ‘yakin pada diri sendiri’ seperti inilah yang menebalkan sifat ke’aku’an manusia. Dan sifat ke’aku’an inilah yang menjadi tembok pemisah diantara manusia dengan Tuhan. Bentuk motivasi diri seperti inilah melahirkan ramai manusia (yang dikatakan) hebat tetapi sombong (dengan sifat ke’aku’an). Aku itu; aku ini; kalau bukan aku yang…; kalau aku tidak tolong…; dan ber’aku’-aku lagi. Ada yang bijak merasa dirinya hebat. Ada yang menjadi  professional merasa pandangannyalah yang paling tepat. Ada yang menjadi agamawan langsung tiada boleh berbeza pendapat.

Maafkan saya. Lewat ini baru saya menyedari bahawa potensi diri manusia yang sebenar adalah bilamana manusia itu melepaskan ke’aku’an dirinya. Menjadi hamba sehamba-hambanya. Bahawa dia tidak berkongsi apa-apa dengan Pencipta. Bahawa dirinya, seluruh kehidupannya dan segala gerak diamnya tidak pernah terpisah dengan Tuhannya barang sesaat! Sedar diri; ‘merasa’ kebersertaan Pencipta dalam setiap perjalanan hidupnya; di dalam solat, di dalam ibadat, di dalam jaga, di dalam tidur, ketika makan, ketika memandu, ketika mandi, ketika memasak, ketika bercakap, ketika belajar, membaca, menulis dan pada setiap ketika. Rasa kesedaran inilah yang menghidupkan roh. Di sinilah punca potensi diri yang sebenar. Bilamana seorang hamba itu tidak lagi bergantung pada dirinya, dan pada sesiapa sahaja selain Allah. Tiada yang lain – Hanya Allah. Inilah yang dinamakan IHSAN.

Kepada mereka yang diluar sana yang pernah menyertai kursus motivasi yang pernah dikendalikan oleh saya atau saya sebahagian dari tenaga pembimbingnya, maafkan saya. Ketahuilah oleh kalian bahawa saya silap dan pendekatan yang saya gunakan itu ‘tidak tepat.’  Semoga Allah mengampuni  dan memelihara saya dan kalian semua.


No comments:

Post a Comment