Sunday, October 11, 2015

OUTDOOR PERKAHWINAN | Satu kreativiti


Sejak sekian lama kita membudayakan sesi 'outdoor' dalam foto perkahwinan, tetapi masih ramai pengantin yang rigid dan tidak berani mempelbagaikan kreativiti di dalamnya. Bagi sesetengah pasangan pengantin, foto perkahwinan mestilah memakai kostum perkahwinan; kena ada gaun labuh, tuxedo, baju melayu, baju songket dan sebagainya. Sedar atau tidak, menempah dan menyewa kostum-kostum tersebut boleh mencecah harga ribuan ringgit bahkan lebih mahal dari pakej fotografi perkahwinan itu sendiri.


Tidak salah mengenakan kostum perkahwinan di dalam sesi 'outdoor'. Sekiranya kita mempunyai 5-10 pasang persalinan, mengenakan kesemuanya dalam setiap sesi foto adalah anjuran yang terbaik. Tetapi sekiranya kita tidak memiliki banyak persalinan, dan kita tidak berminat untuk menghabiskan wang untuk persalinan-persalinan tersebut, menggunakan pakaian yang sedia ada dalam 'wardrobe' kita sendiri adalah opsyen yang terbaik. Sekiranya kita adalah seorang tentera, kita boleh gunakan seragam tentera sebagai persalinan kita; lokasi fotonya di hutan belantara atau diatas kapal perang :) . Sekiranya kita adalah doktor, kita boleh gunakan kot doktor, atau pakaian bedah; lokasi fotonya pula mungkin di hospital atau di dewan bedah :). Dan begitulah seterusnya mengikut profesyen masing-masing. 

Bosan dengan pakaian sama, diwaktu kerja dan sesi outdoor, kita boleh bermain konsep dengan berlakon menjadi profesyen yang lain seperti budak sekolah, nelayan, petani, orang kampung dan sebagainya. Kostum-kostum untuk kesemua profesyen tersebut pasti sudah tersedia di dalam alamari kita atau almari saudara mara kita. Tidak perlu menghabiskan duit untuk menempah atau menyewanya. Tidak mahu berprofesyen, kita boleh menjadi orang biasa-biasa saja. Cukup sekadar memakai t-shirt, kemeja atau pakaian harian kita. 


Opsyen-opsyen yang dinyatakan diatas menjadikan sesi fotografi itu berjalan dengan lebih santai, tidak tergopoh gapah dengan persalinan dan solekan yang tebal. Ia juga menghasilkan seni foto 'natural' yang lain dari yang lain. Dan yang paling penting ia boleh menjimatkan poket pasangan pengantin. :)

Friday, October 9, 2015

IHSAN | Potensi Diri


Suatu ketika dahulu saya pernah mengendalikan program motivasi pelajar samada dibawah NGO mahupun syarikat. Namun lewat ini baru saya menyedari bahawa metod yang saya pakai dalam motivasi itu adalah ‘tidak tepat’. Dan saya percaya ramai motivator dan akademi perunding diluar sana menggunakan kaedah yang sama. Asas pembangunan potensi diri manusia dari roh itu betul. Diselaras pula dengan aqal dan emosi dan seterusnya kepada fizikal itu juga betul. Tapi metodnya salah.

Kita sering melihat pakar motivasi meminta peserta menjerit, “saya boleh!”, “saya boleh!”, “saya boleh berubah!”. Pada pengamatan saya kaedah seperti itu sedikit pun tidak mencetuskan apa-apa potensi dari roh atau hati manusia. Bahkan terbalik, ia mencetuskan sifat ke’aku’an  yang menebal dalam diri manusia, membuatkan manusia semakin jauh dari Tuhan. Cetusan potensi seperti ini hanya berlegar pada peringkat emosi.

Kaedah lain pula, peserta dihidangkan dengan visual penciptaan alam semesta, untuk menggambarkan betapa kerdilnya manusia. Seringkali juga peserta disuruh untuk memejamkan mata, lalu mereka disuruh menghayati ucapan motivator yang penuh dengan kesedihan dan tangisan berlatarkan siulan serunai dan petikan piano kitaro. Aduh sedih. Siapa pun pasti insaf dan menangis. Adakah ia sampai kepada roh/hati sanubari manusia? Belum tentu; adakalanya ia hanya berlegar-legar diminda dan khayalan peserta sahaja.

Peserta juga diasuh membina keyakinan diri dengan membuang sifat malu; berdiri dan duduk dengan tegap (yakin); selalu kehadapan; bercakap dengan yakin; dsb. Tujuan ini betul. Tapi pendekatan yang digunakan salah. Kita hanya membina keyakinan kendiri – yakin pada diri sendiri. Tapi diri kita itu siapa? Sebab itu ramai orang yang yakin diri, tetapi tidak sedar diri.

Permainan khayalan & aqal dan amalan ‘yakin pada diri sendiri’ seperti inilah yang menebalkan sifat ke’aku’an manusia. Dan sifat ke’aku’an inilah yang menjadi tembok pemisah diantara manusia dengan Tuhan. Bentuk motivasi diri seperti inilah melahirkan ramai manusia (yang dikatakan) hebat tetapi sombong (dengan sifat ke’aku’an). Aku itu; aku ini; kalau bukan aku yang…; kalau aku tidak tolong…; dan ber’aku’-aku lagi. Ada yang bijak merasa dirinya hebat. Ada yang menjadi  professional merasa pandangannyalah yang paling tepat. Ada yang menjadi agamawan langsung tiada boleh berbeza pendapat.

Maafkan saya. Lewat ini baru saya menyedari bahawa potensi diri manusia yang sebenar adalah bilamana manusia itu melepaskan ke’aku’an dirinya. Menjadi hamba sehamba-hambanya. Bahawa dia tidak berkongsi apa-apa dengan Pencipta. Bahawa dirinya, seluruh kehidupannya dan segala gerak diamnya tidak pernah terpisah dengan Tuhannya barang sesaat! Sedar diri; ‘merasa’ kebersertaan Pencipta dalam setiap perjalanan hidupnya; di dalam solat, di dalam ibadat, di dalam jaga, di dalam tidur, ketika makan, ketika memandu, ketika mandi, ketika memasak, ketika bercakap, ketika belajar, membaca, menulis dan pada setiap ketika. Rasa kesedaran inilah yang menghidupkan roh. Di sinilah punca potensi diri yang sebenar. Bilamana seorang hamba itu tidak lagi bergantung pada dirinya, dan pada sesiapa sahaja selain Allah. Tiada yang lain – Hanya Allah. Inilah yang dinamakan IHSAN.

Kepada mereka yang diluar sana yang pernah menyertai kursus motivasi yang pernah dikendalikan oleh saya atau saya sebahagian dari tenaga pembimbingnya, maafkan saya. Ketahuilah oleh kalian bahawa saya silap dan pendekatan yang saya gunakan itu ‘tidak tepat.’  Semoga Allah mengampuni  dan memelihara saya dan kalian semua.


Wednesday, September 30, 2015

Dracaena sanderiana

Maafkan saya. Sejujurnya saya menyedari bahawa ramai orang memandang enteng dan selalu mengabaikan tatahias di dalam tandas. Bagi mereka tandas hanyalah sekadar 'tandas', kenapa harus dihias-hias? Namun pada sisi yang lain, ada pula sebahagian orang menyatakan; sekiranya ingin melihat kebersihan sesebuah rumah atau restoren, maka lihatlah tandasnya.

Saya setuju dengan pandangan yang kedua. Bagi saya tandas boleh dijadikan indikator tahap kebersihan dan ketelitian kita dalam urusan seharian. Seseorang yang mengambil berat perkara  yang seremeh tandas pastilah akan mengambil berat perkara lain yang lebih rumit. Lagi pula tandas merupakan tempat bersarangnya jin dan syaitan. Sekiranya semakin tidak terurus tandas kita, maka berpestalah jin dan syaitan di dalamnya. Justeru itu Nabi SAW mengajar umatnya supaya berdoa minta dijauhkan jin dan syaitan sebelum memasuki dan sebaik keluar dari tandas.

Selain kebersihan, cara lain yang boleh dilakukan untuk memperelokkan persekitaran tandas adalah dengan meletakkan tumbuhan berpasu di dalamnya. Salah satu tumbuhan yang sesuai dijadikan hiasan di dalam tandas adalah Dracaena sanderiana atau lebih dikenali sebagai 'Lucky Bamboo' atau 'Chinese Water Bamboo' dan beberapa nama lagi. Penggunaan tumbuhan ini lebih berkonsepkan 'Indoor Zen' kerana ciri-cirinya yang minimal dan 'simple'. Tumbuhan ini saya sarankan kerana ia mudah diurus, tidak memerlukan cahaya secara langsung, tidak memerlukan pembajaan yang kerap/banyak dan boleh ditanam samada di dalam tanah mahupun di dalam air. 


Untuk posting kali ini saya kongsikan bagaimana Dracaena sanderiana disusun di dalam pasu kaca yang mengandungi air. 

1. Susun Dracaena sanderiana dengan mengambilkira komposisi yang tinggi diletakkan ditengah dan yang lebih rendah ditepi. Pastikan ada jarak diantara satu pokok dengan pokok yang lain untuk memberi ruang tumbesaran dan kemandirian.
2. Letakkan batu 'chipping' diantara ruang-ruang yang ada di dalam pasu. Ia boleh disusun dengan berlapis-lapis dengan batu yang pelbagai warna. (Batu ini boleh diperolehi di kedai-kedai hardware yang menjual 'pebble wash'). Anda boleh berjimat sekiranya menggunakan pasir garam atau cengkerang-cengkerang kecil yang boleh dijumpai ditepi pantai. PERINGATAN ~ pastikan pasir garam atau cengkerang itu dibersihkan terlebih dahulu bagi menghilangkan garam yang terdapat padanya, kerana pokok ini alah dengan garam. 
3. Masukkan air sehingga menenggelami sekitar 2 inci akar pokok tersebut. Sebolehnya gunakan air telaga, boreng atau air sungai, kerana pokok ini alah dengan klorin dan florida yang terdapat di dalam air paip.
4. Letakkan diatas rak cermin muka atau sinki. Ambil gambar, dan kongsikan hasil kerja anda :)

Gambar-gambar dibawah ini ilham dari google.




Tuesday, September 22, 2015

Fajar Keguguran

Outing bersama saudara Mahadi DC | 2012

Menceritakan pengalaman hingusan saya dalam seni fotografi. Saya bermula dengan genre 'human interest'. Guru tidak formal saya pada ketika itu adalah saudara Zafir Zamani. Kemudian saya merasakan bahawa genre 'human interest' tidak kena dengan jiwa saya. Kemudian saya bertukar ke genre 'sport'. Ambil beberapa keping gambar orang lumba motor; saya merasakan ia juga bukan jiwa saya. Saya beralih pula ke genre 'landscape'. Guru saya secara tidak formal pada masa itu adalah Allahyarham Zul Husain. Saya mengikut arwah ke outing fotoskool di tasik Kenyir. Di tasik Kenyir saya bertemu pula dengan geng-geng 'memburung' dari group Birds Nature & Us seperti Tuan Muhammad Alzahri dan Tuan Zaidy Ksx. Di'racun' oleh mereka, saya bertukar minat kepada genre 'birding & wildlife' ~ kebetulan saya menghabiskan 2 semester masa undergraduate saya dahulu dalam kursus hidupan liar, dan saya minat dengan hidupan liar. Namun kekangan gajet dan bajet menghalang minat saya untuk terus bereksplorasi dalam genre ini. Kemudian saya kembali fokus kepada genre 'landscape'. Memanglah gajet-gajet genre 'landscape' boleh tahan mahalnya; tetapi tidaklah semahal genre 'birding'. 


Di awal penglibatan dalam genre 'landscape' saya berkenalan dengan ramai rakan-rakan yang sudah boleh dikira otai pada masa itu seperti saudara Mahadi DC, Misteri Prime, Noibrizi Mohd, Syam yatini, abah Jain Mahmud, Eddy Fendy,  Olivia Ali, Kamrul Arifin, Muhammad Khasif, Zakri zim dan ramai lagi. Kala itu saya merasakan bidang fotografi ini adalah rahmat dalam menjalinkan persaudaraan. Sekali outing semua kaki foto turun tidak kira background apa pun, parti politik apa pun, ~ matlamatnya: mengambil gambar :) 

Tahun demi tahun berlalu, ramai rakan-rakan sudah meninggalkan bidang fotografi, dan ada yang sudah meninggal dunia pun (alfatihah). Tetapi fotografi masih disitu. Peminatnya semakin ramai. Rakan-rakan baru dalam genre yang sama mahupun genre yang berlainan semakin bertambah. Dari perkongsian ilmu, pengalaman dan persaudaraan, saya merasakan bahawa seorang fotografer yang bagus tidak boleh 'taksub' dalam genre yang sama saja. Dia perlu sesekali keluar dari genre itu untuk mencuba genre yang lain ~ kalaupun tidak pakar dalam genre yang lain, cukuplah utuk tahu dan mampu menghasilkan karya yang baik dalam genre yang lain. Kalau dalam bahasa akademik kami panggil sebagai 'multidisciplinary'. Dan diatas dasar itu saya masih lagi belajar, mencari dan mencuba untuk menggabungkan elemen-elemen 'human', 'landscape', 'nature' dan sebagainya dalam satu-satu karya. Dinamika komposisi seperti ini boleh memberi kekuatan dan kelainan dalam karya-karya fotografi, mendepani kepelbagaian permintaan dalam seni fotografi. 

Saturday, September 19, 2015

Dendrobium papilio

Ramai orang kata bahawa menanam pokok di dalam rumah tidak elok untuk kesihatan. Alasannya kerana kita akan berkongsi udara dengan pokok tersebut. Sebenarnya fahaman seperti itu tidak tepat kerana manusia dan tumbuhan menggunakan jenis udara yang berlainan, masing-masing iaitu oksigen dan karbon dioksida. Satu kombinasi perkongsian yang baik apabila manusia menyedut gas oksigen yang dikeluarkan oleh tumbuhan, manakala tumbuhan pula menyedut gas karbon dioksida yang dikeluarkan oleh manusia. 

Namun yang menjadi perdebatan adalah proses respirasi tumbuhan yang turut menggunakan gas oksigen. Adalah perlu difahami bahawa jumlah gas oksigen yang digunakan tumbuhan dalam proses respirasinya tidaklah sebanyak jumlah oksigen yang disedut oleh manusia. Dan menanam dua hingga lima tumbuhan di dalam rumah tidak akan menjadikan kita kehabisan oksigen dan sesak nafas :)

Sebagai pengamal seni landskap dan hiasan saya lebih suka mengesyorkan klien menggunakan tumbuhan hidup sebagai hiasan dalam berbanding tumbuhan tiruan/plastik. Ini kerana tumbuhan plastik ini adalah pengumpul debu dalam kediaman, dan debu itu amat tidak elok untuk kesihatan. Sementara tumbuhan semulajadi pula adalah pemerangkap debu. Sebagai contoh pokok udara (air plant) menggunakan debu-debu yang terperangkap pada struktur anggotanya sebagai nutrien kemandiriannya. Manakala tumbuhan yang mempunyai akar udara seperti orkid pula menggunakan akarnya untuk bernafas; dan debu-debu yang terperangkap pada daun/bunganya boleh disembur air, kemudian jatuh ke akar; kemudian digunakan akar sebagai nutrien. Secara tidak langsung ia bertindak sebagai 'air purifier' semulajadi (dan tidak pula menggunakan tenaga elektrik) untuk kediaman anda. Menarik bukan :)

Posting akan datang saya akan kongsikan pula bagaimana tumbuhan boleh dihias dengan menarik untuk dibawa masuk ke dalam rumah.

Iqra : Foto Perkahwinan Islam


Saya memperkenalkan konsep Ilmu, Islami & Alami dlm seni fotografi perkahwinan. Dan saya sanggup berendam dlm air, meniarap dlm sawah dan melakukan apa saja utk menghasilkan foto yg (insyaAllah) bermutu. Sesiapa yg berminat utk mencuba hasil seni foto perkahwinan saya bolehlah pm saya atau layari sendiri ke pakej saya di http://ummi-zikry.blogspot.my/…/label/Photography%20Packages .Untuk tempahan bulan Sept, Oct, Nov dan Dec masih available.

Mengoptimakan Ruang Kediaman



Seorg sahabat meminta saya review plan kediaman beliau. Berikut saya kongsikan reviewnya:
~Tradisi org Melayu memang sukakan privacy, terutamanya melibatkan keluarga dan kediaman. Namun dek desakan harga tanah/rumah yang melambung2 sekarang ini privacy seperti itu sukar utk dilaksanakan. 



1. Solusinya bagi saya tidak salah rasanya kita terapkan style 'modern condo' dlm rekabentuk banglo setingkat sebegini. 
2. Ia memberi 'tampakan' ruang yg lebih luas meskipun diatas ruang binaan yg terhad. Ia juga memperbaiki aeration & pencahayaan yg lebih baik utk kediaman (Feng sui kate ade ongg ma 
smile emoticon
 ). 
3. Persoalan privacy; saya sendiri kalau ade tetamu dtg ke rumah, saya akan berborak2 dgn mereka terlebih dahulu diluar rumah, bagi memberi masa kpd isteri utk bersiap2 (bersalin baju/pakai tudung dsb.)
4. Pemisahan ruang tamu dan ruang keluarga juga kurang sesuai dlm usaha kita mengeratkan hubungan kekeluargaan diantara tetamu dan anak2. Adalah tidak elok jika sanak saudara dtg dan berbual dgn kita diruang tamu, tapi anak2 kita menonton tv atau memencil diruang keluarga. Saya sendiri lebih suka anak2 saya berborak dgn saudara-mara/rakan-rakan dan bermain-main dgn anak2 mereka. Tiada istilah 'menyibuk cakap org tua' bagi saya.